Halaman

Isnin, 31 Ogos 2009

MERDEKA TAPI JANGAN KAMU MENDERHAKA KEPADA ALAH.

KEMERDEKAAN DARI KACAMATA AGAMA

BAYANGKAN anda terkurung dalam sebuah bilik sempit, gelap, busuk dan kotor. Pasti tidak ada apa yang difikirkan ketika itu kecuali mahu bebas daripada kurungan itu.Demikian lumrahnya manusia. Sesuatu nikmat itu benar-benar dihargai dan dirasai kepentingannya apabila ia tiada.

Nikmat sihat hanya dirasakan apabila ditimpa sakit. Ketangkasan dan kecergasan usia muda hanya disesalkan apabila ‘kerenah’ usia tua mula meniti. Demikian juga kebebasan dan kemerdekaan. Hanya mereka yang terpenjara atau pernah mengalaminya benar-benar memahami erti kebebasan.Kebebasan adalah anugerah Allah kepada makhluk-Nya.

Khalifah Umar bin al-Khattab pernah berkata: Bilakah kamu menganggapkan manusia ini hamba kamu, pada hal mereka telah dilahirkan oleh ibu mereka sebagai makhluk yang merdeka?”

Jadi, tidak ada siapa pun boleh mendakwa dialah yang memberikan kebebasan kepada manusia seperti tidak ada seorang pun daripada kalangan manusia yang berhak untuk merampas kebebasan seseorang yang lain.

Perakuan kebebasan ini dijelmakan dalam kebebasan untuk memilih akidah atau pegangan hidup. Allah berfirman maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad saw): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu. Maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu ingkar, biarlah dia mengingkarinya...” (Surah al-Kahfi, ayat 29)

Firman-Nya lagi: “Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati mengenai kedegilan orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki), maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang yang beriman?” (Surah Yunus, ayat 99)

Demikianlah erti kebebasan yang diajar oleh Nabi Muhammad sejak 15 abad lalu. Kebebasan yang tidak pernah dipinta dan diperjuangkan oleh sesiapa pun pada waktu itu. Ia adalah kebebasan hakiki, yang dianugerahkan Allah kepada sekalian makhluk-Nya tidak kira lelaki atau perempuan, Muslim atau bukan Muslim.



Kini, ketika seluruh dunia memperkatakan mengenai kebebasan dan hak asasi manusia, umat Islam yang sejak dulu mengetahui dan menikmati kebebasan yang dianugerahkan Allah kepada mereka, bertukar menjadi umat tertindas dan sering dinafikan hak mereka. Ketika kaum wanita di Barat dan di Timur dibenarkan berjalan bebas tanpa pakaian kerana menghormati ‘hak asasi’nya, wanita Islam yang bertudung kepala kerana mematuhi suruhan agama, disekat, dihina dan dinista.

Pada masa kaum lelaki di Barat bebas mengepit dan meniduri puluhan wanita tanpa ikatan nikah yang sah di sisi undang-undang dan agama; lelaki Islam yang berniat untuk melakukan perkahwinan kedua dengan cara yang halal di sisi agama, dianggap kejam dan mendiskriminasi wanita.Ketika masyarakat dunia menyaksikan peningkatan jenayah di kalangan orang dewasa, remaja dan kanak-kanak, pelbagai cadangan, langkah dan bentuk hukuman dikemukakan.

Tetapi, apabila orang Islam membuka mulut mencadangkan pelaksanaan undang-undang Islam, mereka dikatakan kolot, kejam dan ketinggalan zaman. Dan ketika tanah air umat Islam diceroboh, umatnya diusir, wanita dan kanak-kanak dibunuh, orang Islam yang bangkit berjuang demi mempertahankan agama, tanah air dan maruah; dituduh pelampau dan pengganas.

Maka, sempena menyambut Hari Kemerdekaan negara ke-52 yang penuh makna ini, marilah kita bebaskan diri daripada segala belenggu yang menghalang kita daripada mentaati dan melaksanakan perintah Allah Yang Maha Agung. Itulah kebebasan hakiki yang menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.Bukan kebebasan mengikut nafsu dan melakukan maksiat.

SEKIAN , SALAM KEMERDEKAAN KE 52 DAN INGATLAH KITA BELUM MERDEKA DARI MENJADI BAHAN BAKAR API NERAKA..

MARI MENGEJAR SYURGA!

PEWARIS SYURGA FIRDAUS ,CREDIT UNTUK PROF MADYA MAZNAH DAUD.


وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولاً أَنِ اعْبُدُواْ اللّهَ وَاجْتَنِبُواْ الطَّاغُوتَ
“Dan telah Kami utuskan Rasul bagi setiap umat itu. (Mereka menyeru manusia) agar menyembah Allah dan menjauhkan diri daripada Taghut (iaitu seteru Allah)” [an-Nahl 16: 36]
Sesungguhnya pemilik agama ini, yang mencipta dan memiliki alam semesta, memerintahkan Nabi utusan-Nya agar tidak memaksa hamba-Nya memeluk agama yang diturunkan-Nya. Malah, hamba-Nya diberi kebebasan sepenuhnya sama ada mahu beriman atau sebaliknya, selepas diberi penjelasan mengenai kebenaran dan keindahan agama ini melalui ayat suci al-Quran dan diterjemahkan pula dalam bentuk amalan oleh Nabi serta pengikutnya.

Mari kita saksikan bagaimana seriusnya Rasulullah melaksanakan perintah Tuhannya agar tidak memaksa umat manusia memeluk Islam.Seorang lelaki musyrik bernama Thamamah bin Athal memasuki Madinah dengan sebilah pedang untuk membunuh Nabi. Dia berjalan, berlegar ke sana ke mari mengintai peluang keemasan bagi melaksanakan misinya. Tiba-tiba, dia terserempak dengan Umar bin al-Khattab.

Melihat gerak-gerinya, Umar mengesyaki sesuatu, lalu menghampiri Thamamah dan bertanya: “Hendak ke manakah engkau wahai Thamamah?”

Tanpa rasa takut dan gentar, meskipun berhadapan dengan Umar, Thamamah menjawab dengan tegas dan berani: “Aku hendak membunuh Muhammad!”

Tanpa berlengah walau sedetik pun, Umar lantas menangkap Thamamah, mengheret dan mengikatnya pada sebatang tiang Masjid Nabawi. Selepas Rasulullah selesai menunaikan solat Zuhur, Umar menyampaikan apa yang telah berlaku.

Dengan tenang Baginda menghampiri Thamamah yang sedang terikat pada tiang dalam masjidnya. Rasulullah memandang tepat ke wajah Thamamah, kemudian mengalih pandangannya kepada sahabat di sekelilingnya. Umar pula menanti dengan penuh debar arahan yang bakal diterimanya.

Apakah hukuman paling setimpal yang bakal dijatuhkan terhadap si musyrik durjana ini? Bunuh? Penjara seumur hidup? Buang daerah?

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ {96}
“Sekiranya penduduk suatu kampung itu beriman dan bertaqwa, nescaya akan Kami limpahkan ke atas mereka keberkatan dari langit dan bumi. Akan tetapi mereka telah mendustakan Allah, lantas Kami hukum mereka terhadap apa yang telah mereka lakukan” [Al-A’raaf 7: 96]

Namun soalan yang ditanya Baginda adalah sama sekali di luar dugaan. Baginda bertanya: “Adakah engkau telah membawakan makanan kepada lelaki ini, wahai Umar?”

Umar menjawab dengan jujur: “Belum, wahai Rasulullah.” Lalu, Baginda memerintahkan Abu Hurairah supaya meminta segelas susu daripada Ummul-Mukminin di rumah Baginda.Selepas susu dibawa, Rasulullah memerintahkan supaya ikatannya dilonggarkan.

Thamamah duduk dengan selesa untuk meminum segelas susu yang diberi oleh Baginda.Setelah Thamamah selesai minum susu, Rasulullah berkata kepadanya: “Wahai Thamamah! Masuklah Islam!” Ajakan tulus ikhlas itu ditolak oleh Thamamah dengan katanya: “Tidak wahai Muhammad!” Setelah ajakannya supaya Thamamah memeluk Islam tidak diterima, Baginda memerintahkan supaya dia dibebaskan serta-merta! Thamamah segera bangkit dan berlalu dari situ. Selepas beberapa langkah, dia berpatah balik dan berkata tanpa teragak-agak:

“Asyhadu an la ilaha illallah, wa annaka Muhammad, Rasulullah!”

Rasulullah bertanya dengan penuh kehairanan: “Mengapa engkau tidak menerima untuk memeluk Islam ketika aku mengajak engkau tadi?”Thamamah menjawab: “Wahai Rasulullah! Aku takut sekiranya aku memeluk Islam ketika aku berada dalam genggamanmu, manusia akan berkata, Thamamah memeluk Islam kerana takut kepada Muhammad.

“Tetapi, kini aku bebas sepenuhnya. Maka aku memeluk Islam atas kehendakku sendiri demi mencari keredaan Allah.”

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sejambak terima kasih, kami menghargai kata-kata tuan dan cikpuan.