Halaman

Ahad, 15 November 2009

KENAPA TIDAK BALAS JASA AYAH & IBU ?


KENAPA TIDAK BALAS JASA AYAH DAN IBU  ?

Seringkali dada ayah sesak,acapkali mak menangis..apakah yang mereka risaukan..apa punca mereka menjadi sedemikian rupa..salah siapakah itu?

Jika di tuding kesalahan kepada sesiapa..mungkin kita awal-awal lagi tidak mengakui kesalahan tersebut..

Akhi teringat kisah ini..

Seorang pemuda yang sedang berada di tahun akhir pengajiannya mengharapkan sebuah kereta sport dari ayahnya. Lantas, si pemuda memberitahu hajatnya kepada ayahnya yang merupakan seorang hartawan ternama. Si ayah hanya tersenyum. Si anak bertambah yakin, andai keputusan peperiksaannya cemerlang, pasti kereta itu akan menjadi miliknya.

Beberapa bulan berlalu, ternyata si anak dengan berkat kesungguhannya telah beroleh kejayaan yang cukup cemerlang. Hatinya berbunga keriangan. Satu hari, si ayah memanggil si anak ke bilik bacaannya.

 Si ayah memuji anaknya sambil menyatakan betapa bangga hati seorang ayah sepertinya dengan kejayaan si anak yang cukup cemerlang itu.

Si anak tersenyum puas, di ruang fikirannya terbayang kilauan kereta sport merah yang selama ini menjadi idamannya.

Si ayah yang bagaikan mengerti kehendak si anak, menghulurkan sebuah kotak yang berbungkus rapi dan cantik.

Si anak terkesima.

“Bukan itu yang kuhajatkan”, bisik hatinya.

Dengan hati yang berat, kotak itu bertukar tangan.

Matanya terarah kepada riak wajah ayahnya yang tidak menunjukkan sebarang perubahan, seolah-olah tidak dapat membaca tanda tanya yang bersarang di hatinya

Lantaran itu, si anak tetap membuka pembalut yang membungkus kotak itu. Setelah penutup kotak itu dibuka.

“Apa makna semua ini?”, hati kecilnya tertanya-tanya.

Sebuah Al-Quan kecil, comel dengan cover kulit tinta emas menghiasi tulisan khat di muka hadapan. Si anak memandang ayahnya, terasa dirinya dipermainkan.

Amarahnya membuak, nafsu mudanya bergelojak.

“Ayah sengaja mempermainkan saya”.

“Ayah bukannya tak tahu betapa saya menyukai kereta itu”.
“Bukannya ayah tak mampu untuk membelinya”.

“Sudah ayah, bukan Al-Quran ini yang saya nak!”, katanya keras.

Al-Quran itu dihempaskan ke atas meja bacaan. Si anak terus meninggalkan si ayah tanpa memberi peluang sedikit pun untuk si ayah bersuara.

Pakaiannya disumbatkan ke dalam beg. Lantas, dia meninggalkan banglo mewah ayahnya. Memulakan kehidupan baru dengan sekeping ijazah yang dimilikinya.

10 tahun berlalu...

Si anak kini merupakan seorang yang berharta, punyai syarikat sendiri dengan isteri yang cantik dan anak-anak yang sihat.

Cukup membahagiakan. Namun hatinya tersentuh, sudah 10 tahun semenjak peristiwa itu dia tidak pernah menjenguk ayahnya.

Sedang dia berkira-kira sendiri, telefonnya berdering.

Panggilan dari peguam ayahnya dan memberitahu bahawa ayahnya telah meninggal dunia semalam.

 Dengan mewariskan semua harta milik ayahnya kepada si anak.

 Si anak diminta pulang untuk menyelesaikan segala urusan yang berkaitan perwarisan harta dan buat pertama kalinya setelah dia bergelar bapa, si anak pulang ke banglo ayahnya.

Memerhatikan banglo yang menyimpan 1001 nostalgia dalam hidupnya, hatinya sebak.

Bertambah sebak apabila mendapati di atas meja di bilik bacaan ayahnya, Al-Quran yang dihempaskannya masih lagi setia berada di situ.

Bagaikan setianya hati ayahnya mengharapkan kepulangannya selama ini.

Perlahan-lahan langkahnya menuju ke situ, mengambil Al-Quran itu, membelek-beleknya dengan penuh rasa keharuan.

Tiba-tiba, jatuh sesuatu dari celah-celah Al-Quran itu iaitu segugus kunci dan sepucuk sampul surat ternyata terselit di situ. Kunci itu segera dipungut, hatinya tertanya-tanya.

Nyata sekali, di dalam sampul surat terdapat resit pembelian kereta idamannya yang dibeli pada hari konvokesyennya dengan bayaran yang telah dilunaskan oleh ayahnya. Sepucuk warkah, tulisan tangan orang yang amat dikenalinya selama ini. ‘HADIAH TERISTIMEWA UNTUK PUTERA KESAYANGANKU’.

Air mata si anak mengalir deras, hatinya bagai ditusuk sembilu. Penyesalan mula bertandang, namun semuanya sudah terlambat....

SEKADAR RENUNGAN BERSAMA:-
Berapa banyakkah kita melupakan nikmat Allah, hanya semata-mata kerana nikmat itu tidak ‘dibungkus’, didatangkan atau diberi dalam keadaan yang kita hajati???

Moga kita bersyukur di atas segala kurnia dan nikmat yang Allah berikan kepada kita..
Give thanks to Allah..

Soalannya..bersyukurkah kita atas nikmat Allah? ambil masa..renungi diri..moga peribadi kita seindah nama yang di beri oleh ayah dan ibu..

Akhi Firdaus..cahaya Syurga..

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sejambak terima kasih, kami menghargai kata-kata tuan dan cikpuan.