Halaman

Khamis, 28 Januari 2010

MENDIDIK ANAK CARA ISLAM




Berkesempatan menulis lagi..ucaplah Alhamdulillah,Segala Puji Bagi Allah Yang Maha Esa.

Sedang menonton televisyen? Rancangan apa ya saudara..hmmm..'sharing is caring'.

Media massa memainkan peranan penting. Apabila diteliti terlalu

kurang filem atau drama yang menayangkan cerita keluarga bahagia dan harmoni.

Walaupun pengakhir-nya, si anak atau ibu bapa sedar dan bertaubat tetapi

proses kearah itu penuh perlakuan tidak sopan, tengking dan herdik serta

bermaki hamun.



Kata Tuan Ibrahim, "Kita boleh adakan cerita yang baik. Tidak

mustahil seorang anak mengajak adik-adiknya berdoa untuk kesejahteraan ayah

mereka.



Cium tangan ayah sebaik pulang dan balik kerja, ajak sembahyang

Jemaah dan sebagainya. Pelikkah kalau ibu bapa praktikkan begitu?" soalnya.



Proses pendidikan yang tidak bermoral turut mempengaruhi. Bagaimana

mahu melahirkan anak-anak berakhlak jika di sekolah para guru tidak

bermoral?



"Selalu saya tekankan, jika baran dan marah sekalipun, tolong

jangan keluarkan perkataan-perkataan celupar seperti bodoh, bengap atau

dungu kepada anak murid, kerana kata-kata guru seperti emak, sebahagian

daripada doa," pesannya.



Sabda nabi saw, "Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu

hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang

pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan

rapat.Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukul."



"Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah,

ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda

penghargaan.



Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan. Tetapi selalunya

Usia beginilah ibu bapa mula renggangkan hubungan dan ini menyebabkan

anak derhaka," ujarnya.



Beliau turut menjelaskan, anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah

bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka

tidak akan tergamak menderhaka.



"Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada



rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam.

Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumah

tangga. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik

ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok.



"Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana

sibuk. Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah

tidur,pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun

anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup," katanya lagi.



Faktor makanan turut mengganggu jiwa anak-anak dan menjadi aktif

tidak menentu. Dalam proses tumbesaran anak-anak, jenis dan mutu makanan

sangat penting kerana ia menjadi darah daging.



Rasulullah pernah bersabda yang antara lain kisahnya, seo'rang

budak bermain bola dan tertendang masuk ke dalam masjid. Dia masuk ke masjid dan

bertembung dengan nabi, dan nabi pun menyebut anak subahat sebanyak

tiga kali. Ayahnya runsing dan bertanya kenapa Rasulullah berkata

begitu.



Bila diperiksa rupanya faktor makanan yang dimakan oleh ayahnya

mengganggu tumbesaran si anak. Ia membentuk darah daging dan air mani yang

akhirnya membentuk si anak.



Makanan yang baik , pertama halal dan kedua bermutu. Duit halal atau haram

turut mengkelaskan jenis makanan. Sebab itu, jika berpendapatan tetap

salurkan sedekah atau membayar zakat kerana ia membersih harta.

Daripada harta itulah, kita mendapatkan makanan yang akhirnya membentuk

darah daging.


Persoalannya bagaimanakah kita melengkapkan keluarga kita dengan cara hidup ISLAM?

Selasa, 26 Januari 2010

Erti Seorang Suami

Alhamdulillah,ringkas sahaja untuk posting kali ini yang di ambil dari sahabat kembara Muslim.

Apa erti suami pada anda yang bakal atau sudah menjadi seorang suami?

Mari kita memahami erti seorang suami dengan pengisian ringkas ini...

Sunnatullah dan Syariatullah

Memahami syariatullah , iaitu segala hukum hakam yang termaktub di dalam quran dan hadis. Seorang suami juga, perlu memahami sunnatullah seorang wanita (isteri), yang Allah jadikannya lain dari dirinya. Seorang wanita, sifatnya lain sifat seorang lelaki,pelengkap dirinya, maka perlu difahami akan hakikat seorang wanita yang perasaannya lebih halus dari dirinya.

*Syariatullah pada seorang suami kepada isteri :

Nafkah zahir - tempat tinggal, makan minum .

Nafkah batin - merasa selamat dibawah naungan suaminya, tempat berteduh bagi dirinya, tempat tumpuan kasih sayang , tempat kemesraan dan segala yang berkait rapat dengan perasaan. Inilah hak-hak kejiwaan yang perlu dimainkan peranan oleh seorang suami kepada isterinya.

Seorang suami perlu juga melihat dunia kekeluargaan dari sudut pandang seorang isteri. Kerana seorang wanita punyai pandangan yang berbeza dari seorang lelaki. Kombinasi pandangannya dan isteri memainkan peranan dalam menjamin keutuhan dan keharmonian keluarga.

Kombinasi antara pengetahuan tentang syariatullah dan kefahaman terhadap sunnatullah , insyaallah, akan melahirkan keluarga yang penyejuk di mata penawar di hati, bahagia di dunia cemerlang di akhirat.

Uswah Hasanah

Seorang suami merupakan suri tauladan untuk keluarganya. Segala tindak-tanduknya menjadi perhatian seisi keluarganya. Anak-anak lebih mudah meniru apa yang dibuat berbanding mendengar apa yang diucap oleh ayahnya. Seorang isteri juga lebih mudah mengikut apabila suaminya lebih perihatin terhadap dirinya juga perasaannya.

Seorang suami merupakan pemimpin bagi keluarganya. Jadikan diri contoh terbaik di dalam keluarga.

Amanah (Tanggungjawab)

Menjadi seorang suami merupakan amanah besar yang dipikul bagi seorang lelaki. Bila berjayanya akad nikah, maka seorang lelaki memikul tanggungjawab seorang wanita yang sebelumnya berada di bawah tanggungan ayahnya, kini berada di bawah tanggungannya. Didikan, agama, nafkah dan sebagainya yang ditanggung oleh seorang ayah.

Perkataan amanah ini perlulah selalu diletakkan di dalam minda bahawa bukan perkara kecil dalam membina daulah islamiyah yang terkecil dalam masyarakat,iaitu keluarga. Ilmu memainkan peranan dalam menjalankan amanah sebagai suami, dan juga amanah apabila sudah bergelar seorang ayah.

Matlamat

Seorang suami atau ayah atau lelaki, perlulah punyai matlamat kemanakah hala tuju yang ingin dibawa olehnya dalam kehidupan berkeluarga ini. Sama ada ke syurga atau ke neraka?..

Mahu memberikan kemewahan dunia yang sementara dan berpoya-poya selagi nyawa masih ada?

Mahu menjadikan anak-anak dan isteri sebagai perhiasan dunia semata atau sehingga ke dalam syurga?

Jika mahu dibawa ke syurga, bagaimana caranya, apakah sudah ada?

Matlamat ini perlulah disematkan seboleh-boleh sebelum perkahwinan dilangsungkan , atau selepas bergelar suami.

Jika sudah terlajak, masih boleh diperbetulkan matlamat ini, selagi nyawa dikandung badan.

Istiqamah

Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami, sifat istiqamah atau berterusan dalam melakukan amalan sangat-sangat menjadi titik penting dalam menjaga keharmonian dan juga kesan didikan kepada isi keluarga. Jika seorang suami atau ayah, tidak istiqamah dalam perbuatannya, manakan mungkin dia akan menjadi uswah (ikutan) terbaik bagi isteri dan anak-anaknya.

Didikan seorang ayah / suami yang dalam tegasnya terselit didikan, dalam garangnya punyai asuhan dan dalam tuturnya penuh dengan kemesraan. Semuanya perlulah dalam kadar yang berterusan. Didikan kepada anak-anak dan isteri jika tiada sifat istiqamah ini, boleh runtuh sebuah instiusi keluarga.

Kesimpulan

                              S - Sunnatullah & Syariatullah

          U - Uswah hasanah

A - Amanah

M - Matlamat

I - Istiqamah

Sama-sama kita mengambil pengajaran. Buat teman-teman yang bakal melangsungkan perkahwinan pada cuti ni, moga Allah luaskan pintu rezeki buat kalian, dan dikurniakan zuriat yang soleh lagi solehah dan sebagai pengganti risalah Islam di hari kemudian.

Semoga perkahwinan kami yang menjangkau 4 bulan ini diberkati dan dirahmati..

Ya Matin..
Ya Rahim..

Selasa, 19 Januari 2010

Cara Eratkan Hubungan Sesama Sahabat




Debish..
         Debush..
                      Debik..

Adeh..amik ko,penumbuk !

Suara latar untuk mengambarkan pergaduhan.

Kemungkinan kita pernah bergaduh bersama rakan sepermainan,rakan sebilik,rakan seusrah atau rakan-rakan yang lain.

Bagaimana kita hendak uruskan permasalahan ini..

Akhi cuba titipkan sedikit panduan untuk santapan rohani kalian,




ISLAM memberikan garis panduan jelas dan nyata kepada umatnya untuk mengeratkan hubungan sesama Islam.

Antaranya:





• Menjawab salam jika ada orang memberi salam.


• Menziarahi saudara sesama Muslim yang sakit.


• Mendatangi panggilan, undangan atau jemputan.


• Mengiringkan jenazah ke kubur.

Jika bersin ucapkan Alhamdulillah maka yang dengar sambutlah dengan ucapan Yarhamkallah. Perkara itu diajarkan Rasulullah sebagai dasar kesederhanaan dalam pergaulan masyarakat dan memang jika dilihat sepintas lalu, begitu mudah, tetapi jika mengkajinya, kesimpulannya amat luas dan dalam.

Lima perkara yang disenaraikan di atas, jika diamalkan oleh semua umat Islam maka tidak wujud pergeseran dan pergolakan di dalam masyarakat.

Banyak ajaran Islam yang cukup mendidik jiwa, tetapi sangat dalam ertinya untuk mewujudkan satu masyarakat yang penuh dengan kemesraan yang dapat menghidupkan silaturahim dan menghubungkan tali kasih sayang sesama Muslim.

Firman Allah bermaksud: “Ditimpa mereka atas kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan (kalau mereka) berpegang teguh kepada tali Allah (agama Islam) dan tali manusia (menghidupkan) silaturahim.” (Surah Ali Imran, ayat 112)

Menghidupkan silaturrahim adalah syarat utama untuk menciptakan masyarakat sejahtera dan meninggalkan silaturahim bererti menuju kepada hidup sendiri yang tidak ada faedah dan keseronokannya.

Mereka yang hidup sendiri atau kera sumbang akan sentiasa risau dan tidak tenteram hidupnya.

Tuntutan Allah itu akan hancur berkecai jika kita dihinggapi penyakit hasad dengki dan tidak boleh melihat kesenangan orang lain.

Penyakit itu boleh menghancurkan masyarakat dan memusnahkan hubungan silaturahim yang sepatutnya menjadi amalan semua umat manusia.




Wallhua'alam,

Jangan gaduh - gaduh dah..

Jom bermaaf-maafan.

Salam-salam..Alhamdulillah.

Selesai dari pergaduhan..mari Akhi belanja makan...hehe

Jom !


Ahad, 17 Januari 2010

Carilah Kaf Ba Ro Kaf Alif Ta Nun.




Kaf Ba Ro Kaf Alif Ta Nun.

Keberkatan ya anakku,

Mak nak nasihatkan bila semua hasil kerja yang kita buat sudah berkat,hasil yang datang pasti kan bermanfaat.

Ya,sebelum bekerja dan merantau bonda telah mengingatkan akhi  agar mencari keberkatan dalam kehidupan.Inilah mutiara kata yang akhi simpan dalam ingatan,mudah-mudahan ia dijelmakan kembali dalam bentuk perbuatan.

Sesungguhnya,kata-kata tidak memberi makna jika tidak disusuli dengan perbuatan untuk melengkapkan maksudnya.

Semoga bait-bait kata itu mempunyai hikmah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

ISLAM memang menggalakkan umatnya memiliki harta yang banyak untuk menjamin anggota keluarga dan keturunannya agar sentiasa hidup senang bahagia.

Namun, rezeki yang dimiliki perlu diperoleh daripada sumber halal, sejajar dengan maksud firman Allah: "Makanlah kamu daripada rezeki yang halal dan bersih." – (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Sehubungan itu, Islam melarang umatnya mencari rezeki dan memperoleh harta daripada sumber haram, seperti rasuah, mencuri, menipu, menganiaya dan melakukan kerja haram.

Berikut adalah ucapan Ustaz Akhil Hay berkenaan berkat..


Bila hidup kita berkat, diri ini akan selamat. Apabila diri selamat, rumahtangga jadi sepakat. Apabila rumahtangga jadi sepakat, masyarakat jadi muafakat. Apabila masyarakat jadi muafakat, negara kita menjadi kuat. Apabila negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat. Apabila negara luar jadi hormat, permusuhan pun tersekat. Apabila permusuhan tersekat, pembangunan pun meningkat. Apabila pembangunan pun meningkat, kemajuan menjadi pesat.

TETAPI AWAS!!! Apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat, kita lihat bangunan naik bertingkat-tingkat. Ditengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat. Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat, KETIKA ITU manusia mula mengubah tabiat. Apabila manusia telah mengubah tabiat, ada yang jadi lalat ada yang jadi ulat. Apabila manusia dah jadi ulat, sembahyang makin hari makin liat. Apabila sembahyang jadi liat, orang baik ada yang bertukar jadi jahat. Apabila orang baik bertukar jahat, orang miskin pula nak kaya cepat. Apabila orang miskin nak kaya cepat, orang tua pula nak mati lambat. Apabila orang tua nak mati lambat, tak dapat minum madu telan jer la minyak gamat. Yang lelaki, budak budak muda pakai seluar ketat.

Semua nak tunjuk kuat. Bila berjudi, percaya unsur kurafat. Tapi hidup pula yang melarat. Tali kasut dah tak berikat. Rambut pun jarang sikat. Yang perempuan, pakai mini sekerat. Suka pakai baju ketat. Suka sangat menunjukkan pusat. Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat. Pakai pulak yang singkat-singkat. Kadang-kadang ternampak benda 'bulat'. Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti tercegat. Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat. Duduk jauh berkirim surat. Bila berjumpa, tangan berjabat. Kemudian pakat lawan peluk siapa erat. Masa tu, nafas naik sampai tersekat-sekat. Usah peduli agama dan adat. Usah takut Allah dan malaikat. Yang penting apa kita nak buat? Kita 'bukti' lah kita buat. Akhirnya perut kempis dah jadi bulat. Apabila perut kempis dah jadi bulat, maka lahirlah pula anak-anak yang tak cukup sifat. Bila anak-anak tak cukup sifat, jam tu kita tengok bayi dibuang di merata tempat.

MAKNANYA KETIKA ITU, IBLIS MULA MELOMPAT. Dia kata apa? Habis manusia dah masuk jerat. Habis manusia telah tersesat.

Inilah dia fenomena masyarakat.

 Oleh itu wahai saudaraku dan para sahabat, Marilah kita pakat mengingat, Bahawa dunia hari ini makin singkat, Esok atau lusa mungkin kiamat,

 Sampai masa kita semua akan berangkat! .

Berangkat menuju ke negeri akhirat. Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat.

Masa tu, sindri mau ingat.

Umur mu banyak mana mu buat ibadat...?


Zaman muda mu, apa yang telah mu buat...?

Harta benda anta, dari mana anta dapat...? Ilmu anta, adakah anta manafaat...?

Semoga ianya dapat mengingatkan kita supaya segera meninggalkan maksiat dan memperbanyakkan ibadat.

(Petikan ucapan Ustaz Hj. Akil Hayy Rawa.)



Sudahkah kita periksa,fikir dan 'check list' kerana apa terjadinya susah atau kita di himpit masalah pada satu-satu masa,adakah kerana rezeki tidak berkat?

Antara tanda rezeki diperoleh tidak berkat ialah:

 -Jiwa sentiasa tidak tenang walaupun memperoleh dan memiliki harta banyak dan bertimbun.

- Harta yang diperoleh menerusi jalan tidak baik mudah habis dan terhakis tanpa diduga dan tidak disedari.

- Berasa sombong dan tamak hingga bernafsu untuk menambah dan memiliki lebih banyak harta hingga tindak mementingkan ibadah.

- Berasa kedekut dan enggan bersedekah atau mengeluarkan zakat kerana menganggap perbuatan itu merugikan.

- Sering ditimpa bencana dan musibah yang tidak disedari. Ini kerana setiap perbuatan mungkar akan mendapat laknat daripada Allah.

- Ibadah tidak sempurna dan sukar menerima pendidikan terutama berkaitan agama.

Maka,nikmat yang Allah SWT kurniakan ini perlu di cermati dari mana datangnya.




Akhi mengingatkan diri akhi sendiri akan hakikat ini.

Akhir bicara buat hati ini dan hati sahabat,mudah-mudahan penulisan kali ini memberi suntikan kepada hati agar dapat mengusahakan keberkatan dalam mencari rezeki.

Sesuai dengan peribahasa Melayu..jangan sampai terhantuk baru terngadah.

Apabila berkat semuanya bermanfaat,oleh itu sebarkan nasihat , lebarkan dakwah mengenai hakikat

Kaf Ba Ro Kaf Alif Ta Nun.

Semoga diberkati,Allah Maha Mengetahui.

Ikatlah ilmu dengan menulisnya..۩

Rabu, 13 Januari 2010

DIBURU DOSA SILAM : MARI BERTAUBAT WAHAI SAHABAT.



"Apabila di tahan oleh polis atau JPJ ,kita pasti merasa kecut perut atau ada yang sampai terketar-ketar malah temuntah-muntah kerana mereka akan bertanya soalan-soalan yang berkisar tentang kesalahan yang telah dilakukan umumnya.

Bagaimana pula jika Pihak Berkuasa Pemilik Segala Isi Dunia ini bertanya kepada kita di alam Mahsyar kelak..

Apakah kita mahu menipu Allah?

Kita tidak dapat lari dari Hari Yang Ditunjukkan Amalan dan Pembalasan.

Ke mana lagi kalau tidak mengadu pada Allah SWT.

Allahurabbi,kepada pengunjung Pewaris Syurga Firdaus...

 "Allah tidak akan menanya berapa banyak ilmu yang kamu ada tetapi Allah menanya berapa banyak amalan yang kamu lakukan daripada ilmu yang kamu ada...."

Alhamdulillah wa syukran Lillah,

Akhi titipkan muhasabah ringkas kepada hati yang pasti mati menghadap Illahi..moga kita bertaubat sebelum dijemput Illahi.

Selamat bertamu dan beroleh manfaat atas perkongsian ini.InsyaAllah.

SUATU hari seorang wanita yang hamil kerana perzinaan datang bertemu Rasulullah s.a.w. Dia meminta supaya baginda menjatuhkan hukuman rejam ke atasnya. Bagaimanapun Rasulullah memanggil wali wanita itu dan bersabda, Jagalah dia baik-baik dan apabila dia sudah melahirkan anak, bawa dia kepadaku. Selepas melahirkan anak, wanita berkenaan sekali lagi mengadap Rasulullah dan dia dihukum rejam sampai mati. Baginda menyempurnakan sembahyang jenazah untuknya.

Ketika itu Umar al-Khattab bertanya, Ya Rasulullah, kenapa Tuan menyembahyangkannya, sedangkan wanita itu telah melakukan zina? Rasulullah s.a.w. menjawab, Dia telah bertaubat, jika taubatnya dibahagikan kepada 70 orang di Madinah ini, ia masih mencukupi. Apakah ada orang yang lebih utama daripada seseorang yang telah menyerahkan dirinya kepada hukum Allah?'

Sememangnya di dalam menjalani kehidupan di alam fana ini, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Malah ada ketikanya ketenangan kita sering diganggu oleh dosa-dosa silam yang pernah kita lakukan. Ketika itu kita menjadi resah dan mungkin juga ada yang menitiskan air mata mengenang dosa-dosa yang pernah dilakukan. Namun menitiskan air mata sahaja tidak akan dapat memberi ketenangan kepada kita. Justeru, tiada jalan yang lebih baik selain menginsafi dosa-dosa yang telah kita lakukan dan bertaubat kepada Allah kerana sesungguhnya sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang-orang yang suka bertaubat.

Rasulullah s.a.w. bersabda, Seorang yang berbuat dosa lalu membersihkan diri (berwuduk atau mandi), kemudian dia solat dan memohon pengampunan Allah, maka Allah akan mengampuni dosanya.

Setelah berkata demikian Baginda mengucapkan firman Allah surah Ali Imran ayat 135 yang bermaksud, Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun atas dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu sedang mereka mengetahui. Taubat berasal daripada perkataan taaba-yatuubu-taubatan, iaitu kembalinya seorang hamba kepada Allah s.w.t. daripada segala perbuatan dosa yang pernah dilakukannya. Golongan sufi menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama yang harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk mencapai ma'rifatullah (hakikat). Adalah sesuatu yang sia-sia jika seseorang hamba itu terus melompat ke atas anak tangga seterusnya seperti zuhud, warak dan sabar tanpa terlebih dahulu membersihkan dirinya daripada segala dosa yang pernah dilakukannya dengan cara meminta keampunan kepada Allah dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.

Taubat harus dilakukan dengan segera tanpa menunggu ajal tiba, ini kerana taubat yang dilakukan ketika nyawa sudah di kerongkongan merupakan taubat yang sia-sia. Firman Allah dalam surah An Nisa ayat 17 hingga 18 yang bermaksud, Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera. Maka, mereka itulah yang diterima Allah taubatnya, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang antara mereka, (barulah) ia berkata, Sesungguhnya aku taubat sekarang. Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedangkan mereka di dalam kekafiran. Bagi mereka Kami sediakan seksa yang pedih.''

Hati yang bersih setelah bertaubat merupakan sumber kedamaian dan ketenangan. Melalui ketenangan itulah ia akan membantu kita mengatasi masalah hidup dan tidaklah lagi berasa dibebani dengan dosa-dosa silam. Justeru selagi nyawa dikandung badan, selagi pintu taubat masih terbuka, maka ambil kesempatan tersebut untuk kembali ke jalan Allah.

Bertaubatlah..

Astagfirullah...Aku mohon keampunan Allah!

Ikatlah ilmu dengan menulisnya..۩

Khamis, 7 Januari 2010

JOM BERSIAP -SIAP WAHAI DAIE


Persiapkan keluarga menurut acuan Islam.

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

MUQADDIMAH

Sesebuah Harakah Islamiyah perlu didukungi oleh para da’ie yang berkemampuan dan sentiasa bersedia dalam melakukan usaha-usaha ta’rif (dakwah), takwin (tarbiyah), tanfiz (pelaksanaan tugas) dan tamkin (pengukuhan).

Dalam menjalankan kegiatan dakwah, setiap da’I hendaklah memiliki beberapa persiapan yang perlu untuk memastikan mereka akan terus istiqamah di atas jalan perjuangan ini.

Akhi sisipkan beberapa persiapan iaitu :

  1. PERSIAPAN ILMU
  2. PERSIAPAN MENTALITI
  3. PERSIAPAN JASMANI
  4. PERSIAPAN ROHANI,
  5. PERSIAPAN AKHLAK
  6. PERSIAPAN DAYA KEPIMPINAN
Keterangan ringkas mengenai persiapan tersebut :

PERSIAPAN ILMU

Senjata pertama yang perlu dimiliki oleh setiap da’ie ialah persiapan ilmu.

Secara keseluruhannya, setiap da’ie perlu memahami persoalan aqidah, akhlak, hukum-hukum fiqh serta persoalan dakwah dan jihad yang mencakupi proses pembentukan jamaah, pelaksanaan dakwah, proses mengambil alih kuasa pemerintahan, penggubalan perlembagaan, pelaksanaan sistem pendidikan, sosialisasi masyarakat, penguatkuasaan undang-undang dan konsep hubungan antarabangsa Islam sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran, al-Sunnah dan sejarah Islam.

Sekurang-kurangnya setiap da’ie berkewajipan mengetahui ajaran dan system hidup Islam secara umum, pendekatan dakwah yang sesuai digunakan dalam menghadapi masyarakat, perkembangan politik semasa.

Sebagai para pendokong gerakan Islam, setiap da’ie hendaklah memahami penubuhan, perlembagaan, pengurusan dan pentadbiran gerakan parti Islam yang diperjuangkannya.

Demi kebebasan dakwah, setiap da’ie perlu mengetahui ilmu dan selok-belok dakwah seperti uslub dakwah, sasaran dakwah, kandungan dakwah, strategi dakwah, perancangan dakwah dan pengurusan dakwah.

Sebagai pelengkap kepada ilmu-ilmu di atas, seseorang da’ie juga perlu menguasai beberapa bidang ilmu yang lain seperti bahasa Arab, ilmu Usuluddin, Usul al-Fiqh, ilmu Maqasid al-Syariah, Fiqh al-Awlawiyat, al-Siyasah al-Syar’iyyah serta sejarah pemerintahan dan pembinaan hukum Islam.

Kemantapan ilmu akan menjadikan para da’ie lebih berkemampuan dalam memberikan gambaran yang jelas sama ada berkenaan asas-asas ajaran Islam dan hukum-hukum Islam yang bersifat ilmiah dan semasa seperti tahaluf siyasi, konsep negara Islam, kedudukan non-muslim di dalam negara Islam, hubungan antarabangsa Islam dan lain-lain.

MATLAMAT PERJUANGAN ISLAM




MATLAMAT PERJUANGAN ISLAM


Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya syariatNya dan tunduknya segala fahaman, agama dan ajaran yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a. katanya: Sesungguhnya seorang lelaki Badwi iaitu Arab desa datang kepada Nabi s.a.w. dan bertanya: “Wahai Rasulullah! Ada seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang berperang untuk membuktikan kejantanannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk melihat kemampuannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimah Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah.” (Riwayat Muslim)

Allah s.w.t. sendir menuntut agar agamaNya ini siletakkan mengatasi segala ajaran yang lain. Tuntutan ini jelas dinyatakan oleh Allah ketika menjelaskan tentang matlamat pengutusan Rasulullah s.a.w. kepada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dialah (Allah) yang telah mengutus rasulNya dengan hidayah petunjuk dan agama yang sebenar supaya dimenangkanNya atas segala agama walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin.” (al-Saff : 9)

Al-Maududi menyatakan:

“Sebagaimana halnya dengan din-din lainnya, din Allah ini juga menuntut bahawa seluruh wewenang mesti diserahkan kepadaNya semata-mata. Sedangkan semua din yang berlawanan dengannya mesti ditundukkan. Kalau tidak, ia akan dapat menuntut kepatuhan rakyat, kerana dalau din ini telah berlaku, maka tidak akan ada lagi din kerakyatan, kerajaan atau din kaum komunis.”

Tuntutan ini tidak bererti bahawa Islam bertindak memaksa manusia memeluk Islam dan menghapuskan terus ajaran lain secara kekerasan kerana kekerasan dan paksaan tidak akan menghapuskan apa yang ada dalam hati dan fikiran manusia. Ini dijelaskan dalm konsep dan etika peperangan dalam Islam antaranya ialah larangan manakut-nakutkan orang ramai,melampau, membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua yang sudah kabur pandangan, paderi-paderi, penjaga gereja, membakar pokok dan membunuh haiwan tanpa maslahah. Demikian juga difahami dari ayat ke 40 Surah al-Hajj:

Maksudnya: “Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah .”

Tuntutan itu sebenarnya adalah supaya Islam mendominasikan seluruh suasana dan kekuasaan pemerintahan agar manusia dapat melihat kehebatan dan keagungan Islam lalu mereka akan menerima Islam sama ada sebagai agama anutan atau sebagai pemerintahan yang adil dengan secara rela. Firman Allah s.w.t. Surah at-Taubah, ayat 40:

Maksudnya:

“Dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah dan kalimat Allah itulah orang-orang tinggi.”

Tuntutan menzahirkan agama ini dijelaskan sehinggalah dalam soal peperangan. Tujuan peperangan dalam Islam sendiri adalah untuk memastikan bahawa Islam menjadi penentu dalam percaturan politik dan hidup manusia. Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:

“Dan perangilah mereka (orang-orang kafir) sehingga tiada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya menjadi semata-mata untuk Allah.” (al-‘Anfal : 39)

Menurut Saiful Islam, maksud dari perkataan ‘perangilah’ adalah agar kekufuran tidak melata dan agar din Allah di atas segala -galanya, sehingga din al-Islam ada di mana-mana.

Dari Tarbiyyah untuk kita yang kehausan ilmu,

Ikatlah ilmu dengan menulisnya..۩

Rabu, 6 Januari 2010

PERJUANGAN TIDAK BERNOKTAH


Perjuangan Islam akan terus disambung oleh generasi kini ia tidak kan berhenti..


PERJUANGAN TIDAK BERNOKTAH


Islam sentiasa menghadapi tentangan. Hasil daripada dua faktor di atas, lalu timbul pula reaksi di kalangan manusia yang enggan tunduk kepada seruan dakwah Islam. Reaksi itulah yang menyemarakkan lagi pertentangan di antara Islam dengan musuh-musuhnya.

Contoh yang paling ketara daripada sirah Rasulullah s.a.w. ialah apabila baginda berdakwah dengan orang ramai tentang Islam supaya mengucap syahadah La ilaha illa Allah, dua orang lelaki Badwi dari kalangan yang hadir berkata:

Maksudnya:

“Ini adalah perkara yang dibenci oleh raja-raja (pemerintah). Kerana inilah kamu akan diperangi oleh orang-orang Arab dan orang-orang ‘ajam (bukan Arab).”

Peristiwa ini menggambarkan bahawa penentangan terhadap Islam adalah perkara yang sentiasa berlaku sebagaimana ia telah berlaku ke atas nabi-nabi yang terdahulu. Namun faktor utama penentangan itu bukanlah kerana faktor batang tubuh individu atau golongan yang menyeru, tetapi kerana seruan Islam itu sendiri.

Sebagaimana Rasulullah s.a.w. sendiri ditentang bukan kerana peribadi baginda yang sudah terkenal sebagai al-Amin dan pernah diberi kepercayaan menjadi hakim menyelesaikan masalah perletakan Hajar al-Aswad dalam peristiwa banjir besar di Makkah sebelum kenabian baginda s.a.w.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:

“Jihad itu berterusan sejak aku dibangkitkan sehingga umatku yang terakhir membunuh Dajjal.”

Dari Tarbiyyah untuk kita yang kehausan ilmu,

Ikatlah ilmu dengan menulisnya..۩

Selasa, 5 Januari 2010

AQIDAH ASAS PERJUANGAN ISLAM





AQIDAH ASAS PERJUANGAN ISLAM

Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu sebagai landasan utama kerana persoalan aqidah adalah bersifat menyeluruh dan evergreen.

Perjuangan yang berasaskan isu akan tamat dengan selesainya isu berkenaan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada aqidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid.

Kalimah syahadah La ilaha illa Allah yang menjadi tema tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi atau perubahan besar -besaran di dalam jiwa dan kehidupan manusia kerana ia bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah tertinggi yang disrahkan hanya kepada Allah.

Ia adalah cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi yang telah merampas suatu sifat khusus Tuhan yang utama iaitu menentukan perjalanan dan peraturan hidup manusia . Islam adalah revolusi terhadap kenyataan hidup yang bersandarkan kepada rampasan hak Tuhan itu dan juga merupakan suatu pukulan maut ke atas sebarang peraturan dan kekuasaan yang tidak diredhai Allah.

Sebaliknya Islam menuntut manusia tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. selaras dengan pengertian kalimah Islam sendiri.

Syed Qutb menyifatkan Islam merupakan revolusi di dalam kehidupan manusia. Dalam hubungan ini Syed Qutb menyatakan:

“Seorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dari dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya di alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya dari hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah. Sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada.”

Ibn Taimiyah pula menyatakan apabila ucapan La ilaha illa Allah itu merupakan ucapan yang sebenar,jadilah orang yang mengucapkannya itu ahliNya dan tergolong dalam golonganNya (golongan Allah), manakala orang yang mengingkarinya adalah musuhNya dan orang-orang yang dimurkaiNya.

Risalah Islam yang disebarkan melalui dakwah yang telah dimulakan oleh para nabi itu sendiri bersifat menyeru kepada Allah dan menentang taghut iaitu segala perkara atau sembahan yang bersifat merampas hak-hak ketuhanan sama ada dari sudut ibadah, undang-undang dan pemerintahan. Dalam perkara ini, Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.”

Peranan utama para rasul yang diutuskan Allah adalah membawa petunjuk kepada hambaNya. Ia terdiri dari dua perkara penting yang saling perlu-memerlukan dan menyempurnakan di antara satu sama lain iaitu:

• Menyeru supaya beribadah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah yang Esa
• Menyeru supaya menjauhi taghut

Jelas bahawa seruan Islam bukan setakat mengajak kepada kebaikan dengan menyembah Allah dan mentaatinya, tetapi dalam masa yang sama hendaklah menjauhi dan menentang taghut.

Dari Tarbiyyah untuk kita yang kehausan ilmu,

Ikatlah ilmu dengan menulisnya..۩

Isnin, 4 Januari 2010

KONSEP KEMENANGAN ISLAM




KONSEP KEMENANGAN


Kemenangan adalah satu perkara yang sentiasa menjadi matlamat dalam setiap perjuangan. Tidak kira perjuangan itu benar ( haq) atau batil, pejuang itu muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain.

Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah s.w.t. menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al- fawz, al-nasr dan al-fath. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza.

Kemenangan dengan istilah al-falah melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat. Kemenangan al-fawz pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau kejayaan di akhirat. Manakala kemenangan al-nasr pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh-musuhNya.

A. Kemenangan di Dunia

Di dalam al-Quran, golongan yang memperolehi kemenangan dunia (al-nasr) ini disebut sebagai ghalibun dan dzahirun. Ghalibun memberi maksud orang-orang yang mengalahkan, manakala dzahirun bermaksud orang yang menang.

Kemenangan di dunia disebut juga al-fath. Istilah al-fath digunakan oleh al-Quran dalam banyak ayat yang menyentuh tentang kemenangan besar. Contohnya, Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Fath ayat 1:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.”

Ulama’ sejarah menggunakan istilah al-fath (pembukaan) di dalam setiap kejayan tentera Islam menawan sesuatu wilayah kerana mengambil pengajaran dari al-Quran. Sifat penaklukan itu bukan pemaksaan dan penjajahan, tatapi ia adalah pendedahan manusia kepada Islam, pemerintahannya dan keadilannya. Kemenangan di dunia dapat dilihat dari beberapa aspek sebagaimana dinyatakan di dalam Surah al-Nur ayat 55:

Maksudnya:

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang- orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).”

Tiga bentuk kemenangan al-nasr yang dijanjikan itu adalah:

a) Mendapat kuasa pemerintahan di muka bumi dengan penguasaan pendukung-pendukung ke atas negara atau wilayah dan memeang tampuk pimpinan.

b) Menguatkan agama Islam dengan mengurniakannya wewenang untuk menentukan kehidupan manusia. Dengan kata lain, Islam menjadi asas kehidupan dan undang-undang dalam negara.

c) Mewujudkan keamanan dalam kehidupan setelah mereka berhadapan dengan pelbagai ancaman, rintangan dan risiko dalam mengharungi perjuangan.

B. Kemenangan di Akhirat

Kemenangan di akhirat (al-fawz) adalah kemenangan yang sbenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan atau sebarang medan perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam.

Allah s.w.t. menawarkan kemenangan di dalam firmanNya dalam Surah al-Saff ayat 10 – 12:

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman ( syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.”

Berdasarkan ayat di atas, kemenangan di akhirat itu meliputi empat perkara:

a) Mendapat jaminan keselamatan dari azab yang pedih di akhirat

b) Mendapat keampunan dari Allah s.w.t. atas segala dosa yang telah dilakukan

c) Dimasukkah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai

d) Mendapat tempat tinggal yang baik khusus di yurga yang bernama ‘And

C. Kemenangan Adalah Janji Allah

Di dalam Islam, kemenangan adalah suatu yang pasti dan perlu diyakini oleh setiap muslim. Mereka perlu mengimani masa hadapan yang baik dan gemilang untuk Islam. Ini kerana terdapat banyak nas al-Quran dan al-Hadith yang memberitakan bahawa Islam akan berjaya pada suatu hari kelak. Ayat 55 Surah al-Nur tadi dimulakan dengan lafaz wa’ada bermaksud ‘telah menjanjikan’, di mana kemenangan di dunia (al-nasr) telah dijanjikan oleh Allah sebagai satu kemestian kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh apabila tiba masanya. Janji ini bukan sahaja dikhususkan buat umat Muhammad s.a.w., bahkan ia telah dinyatakan oleh Allah s.w.t. sejak zaman Nabi Daud a.s. lagi. Firman Allah s.w.t. dalam ayat ke 105 Surah al-Anbiya’:

Maksudnya:

“Sesungguhnya telah kami wartakan dalam kitab Zabur selepas peringatan bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaku yang soleh.”

Janji Allah s.w.t. ini disebut pula dalam hadith Rasulullah s.a.w.: Maksudnya:

Dari Tamim al-Dari katanya: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan sampai urusan ini (agama Islam) ke setiap tempat yang sampai padanya malam dan siang. Dan Allah tidak akan membiarkan walau sebuah rumah di Bandar dan perkampungan mahupun di pedalaman melainkan akan dimasukkanNya agama ini melalui kemuliaan orang yang mulia atau kehinaan orang yang hina. Dengan kemuliaan Allah memuliakan Islam dan dengan kehinaan Allah menghina kekufuran.” Tamim al-Dari menyatakan bahawa aku telah mengalami perkara itu dalam keluargaku, yang Islam mendapat kebaikan, kemliaan dan kehebatan, manakala yang kafir mendapat kehinaan, merasa kerdil dan membayar jizyah.”

Hadith ini menerangkan bahawa agama Islam akan berkembang seluas-luasnya ke setiap penjuru dunia. Janji Allah dan RasulNya ini telah berlaku untuk peringkat pertamanya dengan berlakunya pembukaan-pembukaan negara Islam dan berkembangnya wilayah taklukan Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. hingga kurun ke-14 Hijrah.

D. Kemenangan Adalah Pertolongan Allah

Persoalan pokok dan perkara pnting yang membezakan konsep Islam terhadap kemenangan dengan konsep-konsep agama, ideology dan fahaman lain adalah unsur pertolongan Allah, Islam amat menitik-beratkan hubungkait manusia Islam dengan Tuhannya dalam perjuangan bahkan dalam setiap aspek kehidupan.

Para pendukung perjuangan Islam sentiasa diingatkan tentang peri pentingnya bergantung kepada Allah dan menyakini bahawa kemenangan hanya datang dari Allah apabila dikehendakiNya. Allah s.w.t. berfirman dalam ayat 10 Surah Ali ‘Imran dan 126 Surah al-Anfal:

Maksudnya:

“Dan tiadalah pertolongan kecuali dari Allah.” (Al-Anfal: 126)

Al-Nasr dalam ayat ini memberi pengertian pertolongan dan kemenangan di dalam perjuangan. Allah s.w.t. mengaitkan persoalan kemenangan dalam ayat ini dengan pernyataan bahawa Allah Yang Maha Perkasa untuk menunjukkan bahawa Dialah yang berkuasa memberi kemenangan kepada orang-orang beriman walaupun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan mereka kurang berbanding dengan pihak lawan.

Manakala pernyataan bahawa Allah Maha Bijaksana menegaskan bahawa Dialah yang lebih mengetahui bilakah masa yang paling sesuai untuk mengurniakan kemenangan dan sebab apakah kemenangan itu tidak diberikan dalam semua keadaan.

Setiap pejuang Islam perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah dan bergantung kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Dia boleh mengurniakan kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada golongan lain.

Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengisi kemenangan.

Hakikat ini dinyatakan dalam firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat 26:

Maksudnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad) Ya Allah! Engkau pemilik segala kekuasaan, Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabutnya dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Dan Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.”





Dari Tarbiyyah untuk kita yang kehausan ilmu,

Ikatlah ilmu dengan menulisnya..۩

Jumaat, 1 Januari 2010

MEMAHAMI PERJUANGAN ISLAM (SIRI 1)





MUQADDIMAH

Perjuangan Islam bermaksud perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi pihak-pihak yang menentangnya.

Oleh kerana perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan, maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan betapa unsur perlawanan dn persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada di dalam Islam dah dihadapi oleh umat Islam tidak kira bila atau di mana mereka berada.

Mahu tidak mahu, setiap muslim terpaksa menghadapi reality perlawanan atau perjuangan sama ada dalam bentuk perseorangan atau perkumpulan, hebat atau hanya pertentangan kecil mengikut tahap keimanan seseorang.

Demikianlah, sejak generasi Islam yang pertama pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi, umat Islam telah dihadapkan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan tekanan dan ujian.

PERJUANGAN DAN JIHAD

Di dalam bahasa Arab, perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad. Jihad adalah kata terbitan (masdhar) yang berasal dari perkataan jahada bererti bersungguh-sungguh dan berpenatan mengerjakan sesuatu. Jahada pula bererti memerah tenaga.Jahada al-‘aduw bererti memerangi musuh.

Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat. Al-Jihad menurut kebanyakan kamus bererti perang mempertahankan agama.

Dalam konteks Islam, pekerjaan yang paling bersungguh dan paling banyak risiko adalah peperangan atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana dinyatakan dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

Maksudnya:

Daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.”

Sebab itulah kebanyakan pentakrifan jihad pada zaman silam lebih merujuk kepada aspek peperangan.

Contohnya, ulama’ Mazhab Syafie memberi definisi jihad sebagai perang ke atas orang kafir untuk memenangkan Islam.

Manakala ulama’ Mazhab Hanafi pula mendefinisikannya sebagai menyeru kepada agama yang sebenar dan memerangi orang yang tidak menerimanya, dengan harta dan nyawa.

Imam Hassan al-Bana pula menyatakan bahawa:

“Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan di antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran.”

Persoalan mengenai perjuangan dalam Islam juga merangkumi usaha umat Islam mengembangkan agama ini dengan menjalankan gerakan dakwah ke merata tempat di serata pelusuk dunia.

Lalu, di dalam usaha berdakwah itu,mereka menghadapi sekatan, ancaman dan cabaran yang datang dari kebanyakan orang- orang kafir serta sasaran dakwah yang tidak bersikap terbuka untuk mendengar dahulu seruan Islam.

Di dalam suasana ini, timbul perlawanan dan perjuangan menentang halangan, sekatan dan ancaman dari musuh dakwah.

Namun dalam konteks zaman mutakhir ini, perjuangan Islam khususnya dengan pengertian jihad, merangkumi aspek yang luas dengan tidak tertumpu kepada aspek peperangan bersenjata sahaja.

Bahkan ia lebih banyak cenderung kepada persoalan memperbaiki umat dan mempertahankan hak-hak umat Islam sama ada melalui gerakan bersenjata, penentangan terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan Islam dengan saluran pilihanraya, penulisan dan sebagainya.

Pokoknya, di dalam usaha tersebut pada sepanjang zaman, mereka akan menghadapi cabaran dan tentangan dari musuh yang merupakan sebahagian dari ujian Allah s.w.t. Cabaran dan tentangan tersebutlah yang melahirkan reaksi dalam bentuk perjuangan.


Dari Tarbiyyah untuk kita yang kehausan ilmu,

Ikatlah ilmu dengan menulisnya..۩