Halaman

Ahad, 17 Januari 2010

Carilah Kaf Ba Ro Kaf Alif Ta Nun.




Kaf Ba Ro Kaf Alif Ta Nun.

Keberkatan ya anakku,

Mak nak nasihatkan bila semua hasil kerja yang kita buat sudah berkat,hasil yang datang pasti kan bermanfaat.

Ya,sebelum bekerja dan merantau bonda telah mengingatkan akhi  agar mencari keberkatan dalam kehidupan.Inilah mutiara kata yang akhi simpan dalam ingatan,mudah-mudahan ia dijelmakan kembali dalam bentuk perbuatan.

Sesungguhnya,kata-kata tidak memberi makna jika tidak disusuli dengan perbuatan untuk melengkapkan maksudnya.

Semoga bait-bait kata itu mempunyai hikmah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

ISLAM memang menggalakkan umatnya memiliki harta yang banyak untuk menjamin anggota keluarga dan keturunannya agar sentiasa hidup senang bahagia.

Namun, rezeki yang dimiliki perlu diperoleh daripada sumber halal, sejajar dengan maksud firman Allah: "Makanlah kamu daripada rezeki yang halal dan bersih." – (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Sehubungan itu, Islam melarang umatnya mencari rezeki dan memperoleh harta daripada sumber haram, seperti rasuah, mencuri, menipu, menganiaya dan melakukan kerja haram.

Berikut adalah ucapan Ustaz Akhil Hay berkenaan berkat..


Bila hidup kita berkat, diri ini akan selamat. Apabila diri selamat, rumahtangga jadi sepakat. Apabila rumahtangga jadi sepakat, masyarakat jadi muafakat. Apabila masyarakat jadi muafakat, negara kita menjadi kuat. Apabila negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat. Apabila negara luar jadi hormat, permusuhan pun tersekat. Apabila permusuhan tersekat, pembangunan pun meningkat. Apabila pembangunan pun meningkat, kemajuan menjadi pesat.

TETAPI AWAS!!! Apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat, kita lihat bangunan naik bertingkat-tingkat. Ditengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat. Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat, KETIKA ITU manusia mula mengubah tabiat. Apabila manusia telah mengubah tabiat, ada yang jadi lalat ada yang jadi ulat. Apabila manusia dah jadi ulat, sembahyang makin hari makin liat. Apabila sembahyang jadi liat, orang baik ada yang bertukar jadi jahat. Apabila orang baik bertukar jahat, orang miskin pula nak kaya cepat. Apabila orang miskin nak kaya cepat, orang tua pula nak mati lambat. Apabila orang tua nak mati lambat, tak dapat minum madu telan jer la minyak gamat. Yang lelaki, budak budak muda pakai seluar ketat.

Semua nak tunjuk kuat. Bila berjudi, percaya unsur kurafat. Tapi hidup pula yang melarat. Tali kasut dah tak berikat. Rambut pun jarang sikat. Yang perempuan, pakai mini sekerat. Suka pakai baju ketat. Suka sangat menunjukkan pusat. Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat. Pakai pulak yang singkat-singkat. Kadang-kadang ternampak benda 'bulat'. Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti tercegat. Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat. Duduk jauh berkirim surat. Bila berjumpa, tangan berjabat. Kemudian pakat lawan peluk siapa erat. Masa tu, nafas naik sampai tersekat-sekat. Usah peduli agama dan adat. Usah takut Allah dan malaikat. Yang penting apa kita nak buat? Kita 'bukti' lah kita buat. Akhirnya perut kempis dah jadi bulat. Apabila perut kempis dah jadi bulat, maka lahirlah pula anak-anak yang tak cukup sifat. Bila anak-anak tak cukup sifat, jam tu kita tengok bayi dibuang di merata tempat.

MAKNANYA KETIKA ITU, IBLIS MULA MELOMPAT. Dia kata apa? Habis manusia dah masuk jerat. Habis manusia telah tersesat.

Inilah dia fenomena masyarakat.

 Oleh itu wahai saudaraku dan para sahabat, Marilah kita pakat mengingat, Bahawa dunia hari ini makin singkat, Esok atau lusa mungkin kiamat,

 Sampai masa kita semua akan berangkat! .

Berangkat menuju ke negeri akhirat. Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat.

Masa tu, sindri mau ingat.

Umur mu banyak mana mu buat ibadat...?


Zaman muda mu, apa yang telah mu buat...?

Harta benda anta, dari mana anta dapat...? Ilmu anta, adakah anta manafaat...?

Semoga ianya dapat mengingatkan kita supaya segera meninggalkan maksiat dan memperbanyakkan ibadat.

(Petikan ucapan Ustaz Hj. Akil Hayy Rawa.)



Sudahkah kita periksa,fikir dan 'check list' kerana apa terjadinya susah atau kita di himpit masalah pada satu-satu masa,adakah kerana rezeki tidak berkat?

Antara tanda rezeki diperoleh tidak berkat ialah:

 -Jiwa sentiasa tidak tenang walaupun memperoleh dan memiliki harta banyak dan bertimbun.

- Harta yang diperoleh menerusi jalan tidak baik mudah habis dan terhakis tanpa diduga dan tidak disedari.

- Berasa sombong dan tamak hingga bernafsu untuk menambah dan memiliki lebih banyak harta hingga tindak mementingkan ibadah.

- Berasa kedekut dan enggan bersedekah atau mengeluarkan zakat kerana menganggap perbuatan itu merugikan.

- Sering ditimpa bencana dan musibah yang tidak disedari. Ini kerana setiap perbuatan mungkar akan mendapat laknat daripada Allah.

- Ibadah tidak sempurna dan sukar menerima pendidikan terutama berkaitan agama.

Maka,nikmat yang Allah SWT kurniakan ini perlu di cermati dari mana datangnya.




Akhi mengingatkan diri akhi sendiri akan hakikat ini.

Akhir bicara buat hati ini dan hati sahabat,mudah-mudahan penulisan kali ini memberi suntikan kepada hati agar dapat mengusahakan keberkatan dalam mencari rezeki.

Sesuai dengan peribahasa Melayu..jangan sampai terhantuk baru terngadah.

Apabila berkat semuanya bermanfaat,oleh itu sebarkan nasihat , lebarkan dakwah mengenai hakikat

Kaf Ba Ro Kaf Alif Ta Nun.

Semoga diberkati,Allah Maha Mengetahui.

Ikatlah ilmu dengan menulisnya..۩

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sejambak terima kasih, kami menghargai kata-kata tuan dan cikpuan.