Halaman

Jumaat, 1 Januari 2010

MEMAHAMI PERJUANGAN ISLAM (SIRI 1)





MUQADDIMAH

Perjuangan Islam bermaksud perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi pihak-pihak yang menentangnya.

Oleh kerana perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan, maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan betapa unsur perlawanan dn persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada di dalam Islam dah dihadapi oleh umat Islam tidak kira bila atau di mana mereka berada.

Mahu tidak mahu, setiap muslim terpaksa menghadapi reality perlawanan atau perjuangan sama ada dalam bentuk perseorangan atau perkumpulan, hebat atau hanya pertentangan kecil mengikut tahap keimanan seseorang.

Demikianlah, sejak generasi Islam yang pertama pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi, umat Islam telah dihadapkan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan tekanan dan ujian.

PERJUANGAN DAN JIHAD

Di dalam bahasa Arab, perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad. Jihad adalah kata terbitan (masdhar) yang berasal dari perkataan jahada bererti bersungguh-sungguh dan berpenatan mengerjakan sesuatu. Jahada pula bererti memerah tenaga.Jahada al-‘aduw bererti memerangi musuh.

Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat. Al-Jihad menurut kebanyakan kamus bererti perang mempertahankan agama.

Dalam konteks Islam, pekerjaan yang paling bersungguh dan paling banyak risiko adalah peperangan atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana dinyatakan dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

Maksudnya:

Daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.”

Sebab itulah kebanyakan pentakrifan jihad pada zaman silam lebih merujuk kepada aspek peperangan.

Contohnya, ulama’ Mazhab Syafie memberi definisi jihad sebagai perang ke atas orang kafir untuk memenangkan Islam.

Manakala ulama’ Mazhab Hanafi pula mendefinisikannya sebagai menyeru kepada agama yang sebenar dan memerangi orang yang tidak menerimanya, dengan harta dan nyawa.

Imam Hassan al-Bana pula menyatakan bahawa:

“Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan di antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran.”

Persoalan mengenai perjuangan dalam Islam juga merangkumi usaha umat Islam mengembangkan agama ini dengan menjalankan gerakan dakwah ke merata tempat di serata pelusuk dunia.

Lalu, di dalam usaha berdakwah itu,mereka menghadapi sekatan, ancaman dan cabaran yang datang dari kebanyakan orang- orang kafir serta sasaran dakwah yang tidak bersikap terbuka untuk mendengar dahulu seruan Islam.

Di dalam suasana ini, timbul perlawanan dan perjuangan menentang halangan, sekatan dan ancaman dari musuh dakwah.

Namun dalam konteks zaman mutakhir ini, perjuangan Islam khususnya dengan pengertian jihad, merangkumi aspek yang luas dengan tidak tertumpu kepada aspek peperangan bersenjata sahaja.

Bahkan ia lebih banyak cenderung kepada persoalan memperbaiki umat dan mempertahankan hak-hak umat Islam sama ada melalui gerakan bersenjata, penentangan terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan Islam dengan saluran pilihanraya, penulisan dan sebagainya.

Pokoknya, di dalam usaha tersebut pada sepanjang zaman, mereka akan menghadapi cabaran dan tentangan dari musuh yang merupakan sebahagian dari ujian Allah s.w.t. Cabaran dan tentangan tersebutlah yang melahirkan reaksi dalam bentuk perjuangan.


Dari Tarbiyyah untuk kita yang kehausan ilmu,

Ikatlah ilmu dengan menulisnya..۩

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sejambak terima kasih, kami menghargai kata-kata tuan dan cikpuan.