Halaman

Khamis, 1 April 2010

MOTIVASI CUCI HATI : ALLAH MAHA PENERIMA TAUBAT

Marilah menjadi soleh dan solehah...perkara yang lepas usah dikenang kerana ALLAH amat sayang akan hambaNya yang memohon keampunan kepadaNya.Mintalah padaNya kekuatan hati kerana matlamat kita menuju Illahi..

Allahurabbi,
Dosa-dosaku kelihatan terlalu besar buat diriku, tetapi setelah kubandingkan dengan keampunan-Mu, ternyata keampunan-Mu jauh lebih besar…’ Imam asy-Syafe’i sebelum pulang ke rahmatuLlah sempat menukilkan sebuah puisi yang antara lain itu.Bait-bait indah tersebut tentunya lahir daripada rasa hamba dan rasa cinta juga rasa keyakinan yang mendalam terhadap sifat-sifat dan nama-nama mulia Allah; at-Tawwab (Maha Penerima Taubat), al-Ghafur (Maha Pengampun) dan ar-Rahim (Maha Penyayang).

Sifat-sifat dan nama-nama tersebut tergambar dengan cukup jelas dalam maksud wasiat-wasiat rabbani seperti berikut:"Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar". (Thaha : 82)

"Katakanlah wahai hamba-hamba-Ku yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (lazim berbuat dosa), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa, sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Az-Zumar: 53).

“Tidakkah mereka tahu bahawa Allah menerima taubat daripada hamba-Nya dan menerima beberapa sedekah ? Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (at-Taubah: 104)

"Sesungguhnya Tuhanmu memberi ampunan bagi manusia atas kezalimannya, dan

sesungguhnya Tuhanmu amat keras siksanya." (Ar-Ra’ad: 6). "Barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kezaliman dan berbuat kebajikan, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Maidah: 39).

“Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a., berkata bahawa beberapa orang tawanan dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. Seorang wanita di antara tawanan itu mencari-cari, ketika dia menemukan seorang anak (bayi) di antara para tawanan itu, dia ambil dan dia dakapkan keperutnya untuk disusui. Melihat keadaan itu, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kami (para sahabat), ‘Adakah kalian berpendapat wanita ini sampai hati melemparkan anaknya ke dalam api ?’ Kami menjawab, ‘Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparkannya.’ Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Sungguh, Allah lebih menyayangi para hamba-Nya, berbanding wanita tersebut terhadap anaknya.” (HR Muslim)

Mungkin kisah dalam hadith di atas terdapat sedikit persamaan dengan sebuah kisah yang diceritakan oleh Sheikh Muhammad Soleh al-Munajjid yang diringkaskan seperti berikut:

‘Dikisahkan terdapat seorang lelaki pada zaman dahulu sewaktu melewati sebuah lorong telah ternampak sebuah rumah yang terbuka pintunya. Tiba-tiba seorang perempuan mengheret keluar seorang anak kecil yang sedang menangis sambil merayu-rayu. Perempuan tersebut membiarkan anak kecil itu di luar rumah, lalu menutup pintu. Kanak-kanak tadi kemudiannya berlalu pergi. Dia berhenti, melihat sekeliling, mencari tempat untuk berteduh tapi tak siapa peduli sebagaimana emaknya sendiri. Akhirnya, dia kembali ke rumah, bagaimanapun pintu rumah masih terkatup kunci. Dia duduk di bendul pintu sambil meletakkan pipinya di bidai pintu sedang pipinya berbekas genangan air mata. Tiba-tiba pintu terbuka. Emaknya tidak dapat mengawal perasaan apabila melihatkan hal keadaan anak kecilnya itu. Perempuan itu membongkok lantas mendakap erat lalu mencium anak lelaki itu. Ujar perempuan itu sambil menangis: ‘Oh anak ibu! Anak kesayangan ibu! Buah hatiku ibu! Ke manakah engkau? Bukankah telah ibu kata jangan degil? Dengar cakap ibu. Jangan paksa ibu hukum kau. Ibu benci menghukum engkau.’ Kemudian, perempuan itu membawa masuk anak kecilnya ke dalam rumah.’

Menurut Sheikh Muhammad Soleh al-Munajjid: ‘Nabi s.a.w. pernah bersabda: ‘Allah mengasihi makhluk-Nya lebih daripada seorang perempuan kasihkan anaknya.’ Menurut beliau lagi, terlalu jauh perbandingan antara kasih ibu dan anak dengan kasih Allah dan makhluknya. Allah ‘azzawajalla amat mengalu-alukan penyesalan dan taubat daripada hamba-Nya. Allah ‘azzawajalla juga bukan sekadar menerima taubat bahkan menerima taubat yang berulang-ulang kali berdasarkan sebuah hadith sahih (HR Muslim). Dalam
riwayat tersebut, 'Abdul al-A'la menyebutkan bahawa dia tidak pasti Nabi (s.a.w.) telah menyebutkan tiga atau empat kali atau berapa banyak kali yang engkau suka. Ternyata ‘kebaikan’ Allah sering dilupakan oleh manusia. Begitu juga dengan sifat ‘cinta’ dan ‘penyayang’ Allah sering dialpakan oleh manusia yang telah terlalu banyak lagi rakus mengecap pelbagai nikmat daripada-Nya sebagaimana yang cuba dirakamkan dalam puisi berikut:



Aku yang berlari

Engkau Yang Maha Tidak Memungkiri Janji

pernah berjanji:

kalau engkau datang berjalan

Aku datang dengan berlari

Tapi, bila Engkau datang dengan berjalan

aku berlari sekuat hati melarikan diri



"Engkau memanggilku, tapi aku berpaling dari-Mu,

Engkau tampakkan kasih sayang-Mu padaku, tapi aku tampakkan kebencian

(terhadap yang aku tak suka) pada-Mu

Engkau menyayangiku, tetapi aku tidak mempedulikan-Mu seakan-akan aku lebih

tinggi daripada-Mu

Namun, sikapku itu tidak mencegah-Mu

untuk melimpahkan Rahmat dan Kebaikan-Mu padaku."

(Syeikh al-Ashifi dalam Bihar al-Anwar)



Ikatlah ilmu dengan menulisnya..۩







0 ulasan:

Catat Ulasan

Sejambak terima kasih, kami menghargai kata-kata tuan dan cikpuan.