Halaman

Selasa, 4 Mei 2010

PADA PANDANGAN MATA

Salam..

Kita datang ke alam ini tanpa membawa apa-apa. Lahirnya ke dunia tanpa seurat benang Lalu disambut dengan pakaian. Di azankan dan iqamah kiri dan kanan. Ditahniq antara belahan lelangit dengan madu, dicukur rambut, dibuatkan aqiqah, diberi nama.

Diberi susu oleh ibu, diasuh manja oleh ayah. Sehingga umurnya sekian dan sekian, makin menginjak dewasa. Perhiasan semakin bertambah, keperluan semakin terasa pentingnya, keinginan semakin mencurah-curah.

Aku ingin itu, aku hendak ini. Lawanya kereta itu, besarnya kereta ini. Lazatnya makanan itu, enaknya minuman ini.

Yang indah hanya pada mata.. Kalaulah mata itu semakin kabur - (orang ramai kiri kanan menyapa, tapi dia buat dek lalu dikatakan sombong, padahal memang dia tidak nampak) hilanglah cantik pada mata.

Bila selera sudah hilang, makanlah apa sahaja, minumlah apa sahaja. Biasanya kita akan berkata "Aku tiada seleralah untuk makan" (walaupun di hadapannya ada ayam goreng, chopstick, pizza dan sebagainya). Rasa lazat adalah pada lidah, bila hilang selera, lazat pun hilanglah.

Hebat kan hanya pada fikiran yang terbatas - bila diselidik apa hakikat yang menjalankan kereta, apa yang dihasilkan untuk membuat rumah dan bagaimana akhirnya kesudahan khazanah itu. Akhirnya diketahui apa sahaja tidak kekal di dunia, cuma kita ini diajar untuk bersyukur. Bila ada kelebihan pada harta, rajinlah tangan memberi.Bila ada ilmu, rajinlah untuk menyampaikan.

Ada orang merungut - "aku lemah, tidak pandai, tidak bijak, aku tiada harta". Yang dikecohkan adalah kelemahannya serta alasan yang selalu boleh diberi. Padahal kelebihan yang ada pada diri dibutakannya. Kenapa? Sebab yang pertama - mungkin masih tidak disedarkan. Kedua - kerana sikapnya suka memandang kelemahan. Ketiga - Dia memang tidak mahu berubah.

Ada masanya, apa yang orang lain ada kita inginkan dia punya. Kita menjadi iri hati dengan apa yang dia ada. Sedangkan orang lain punya bukan keperluan kita. Terpaksalah membazir, berhutang piutang keliling pinggang semata-mata untuk meniru kesenangan orang lain.

Hidup lawannya mati - bila dah mati, barulah mulut tertutup dari menyatakan apa sahaja, barulah senyap keinginan yang selama ini asyik diburu. Mungkin dah nak hampir mati baru teringat mahu bersyukur.. Itupun kalau beringat..
 
Semoga perkongsian ilmu ini mengingatkan kita akan hakikat pandangan mata yang selalu menipu,kerana pandangan hati itu jua yang hakiki.
 
Baiklah,semoga bertemu lagi.InsyaALLAH.
 
Ikatlah ilmu dengan menulisnya..Akhi Firdaus.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Sejambak terima kasih, kami menghargai kata-kata tuan dan cikpuan.