Halaman

Jumaat, 16 Julai 2010

KEISTIMEWAAN AL - FATIHAH [ VOL - 4 ]

 sambungan dari Keistimewaan Al-Fatihah [ vol - 3 ]

Amin – Penutup segala doa


GHAIRIL MAGHDHUBI `ALAIHIM WA LADHAALIN. Selepas diterangkan ahli nikmat, disebut golongan yang terkecuali daripada mendapat nikmat iaitu ada dua golongan :

1. Golongan yang dimurkai Allah.
2. Golongan yang sesat. Ibn Qutaibah berkata : Sesat ialah hairan dan menyimpang daripada kebenaran.

Riwayat at-Tirmizi menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. menamakan golongan yang dimurkai ialah Yahudi dan golongan yang sesat ialah Nasara. Hadis ini seperti kata at-Tirmizi – hasan gharib. Tafsiran ini dikuatkan dengan riwayat Abdul Razzak.

Ibn Kathir berkata : Begitulah juga pendapat Ibn Abbas, ar-Rabi’ bin Anas, Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam dan lain-lain.

Ibn Abi Hatim berkata : Aku tidak tahu di kalangan mufassirin yang menyalahi tafsiran ini.


Amalan
Ibn Kathir membezakan antara golongan yang mendapat nikmat dengan golongan yang tidak, iaitu jalan ahli iman berdasarkan kepada kebenaran ilmu dan beramal dengannya. Sedangkan Yahudi melupuskan amalan dan Nasara pula hilang pedoman ilmu. Justeru layaklah laknat ditimpa ke atas Yahudi dan kesesatan bagi Nasrani. 

Ini kerana golongan yang tahu dan meninggalkan apa yang disuruh selayaknya dimurkai, berlainan dengan yang tidak mengetahui disangkanya benar tetapi bukan sebenarnya, ini adalah sesat.

Sebenarnya kedua-dua golongan ini Yahudi dan Nasara adalah sesat dan dimurkai, kecuali sifat yang lebih khusus murka ke atas Yahudi dan sesat bagi Nasara kerana thabit dengan nas-nas hadis dan athar.

Ayat ini membahagikan tiga golongan manusia :
1. Golongan yang mendapat nikmat Allah.
2. Golongan yang mendapat kemurkaan Allah.
3. Golongan yang sesat dan menyimpang daripada ajaran Allah.

Moga-moga Allah masukkan kita dalam golongan nikmat-Nya dengan sentiasa dapat hidayah dan taufik di atas landasan yang sebenarnya.

Kenapa Allah menisbahkan kepada-Nya pada nikmat, seperti ayat `yang telah Engkau kurnia nikmat’ tetapi pada kemurkaan dan kesesatan tidak dinisbahkan kepadaNya seperti `yang Engkau telah murka dan sesatkan ?’

As-Syeikh as-Sobuni di dalam Sofwah at-Tafasir menjawab : yang demikian itu untuk mengajar hamba beradab dengan Allah, iaitu kejahatan dan keburukan tidak dinisbahkan kepada Allah secara beradab.

¥ AMIN, maksudnya : Perkenankanlah.
Menurut sunah, selepas dibaca al-Fatihah hendaklah dibaca `amin’ berdasarkan dalil riwayat Ashab as-Sunan, Imam Ahmad dan lainnya daripada Wail bin Hujr daripada Rasulullah s.a.w. yang menyuruh dibaca panjang `aamin’.

Dalam riwayat Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan lainnya daripada Abi Musa al-Asy’ari, sabda Rasulullah s.a.w. : Apabila pada ayat akhir Fatihah, maka letakkanlah `amin’ nescaya diterima Allah bagimu.

Imam an-Nawawi berkata : Ini gesaan yang amat besar agar diaminkan. Kelebihannya jelas berdasarkan riwayat Syaikhan, Ashab as-Sunan dan lainnya daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : Apabila imam menyebut amin, hendaklah kamu aminkan bersama, kerana sesiapa yang aminnya bersamaan dengan amin malaikat, nescaya diampunkan baginya dosa yang terdahulu.



Mengikut ulama, amin diertikan dengan “Ya Allah terimalah doa kami”. Inilah pendapat al-Hasan dan az-Zajjaj.

Ia boleh dibaca panjang atau pendek mengikut bahasa Arab.

Al-Hafiz al-Munziri berkata : Dikatakan amin merupakan satu nama daripada nama-nama Allah. Inilah juga pendapat Mujahid, Hilal bin Yasaf dan Ja’far bin Muhammad.

Dan dikatakan maknanya : Ya Allah perkenankan.

Kalimah
Ada pendapat menyatakan maksud amin ialah, begitulah yang diharap. Seperti yang dihikayatkan daripada Ibn al-Anbari daripada Ibn Abbas dan al-Hasan.
Ulama-ulama nahu menyatakan amin sebagai fi`el (nama perbuatan). Ia kalimah yang bukan daripada al-Quran secara ijmak.

Justeru disunatkan pemisahan antaranya dengan akhir surah al-Fatihah dengan berhenti seketika.

Mengikut riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan daripada Abi Zuhair an-Namiri, sahabat Rasulullah s.a.w. yang apabila mendengar orang berdoa ia berkata : khatamkanlah doamu dengan amin kerana amin seperti cop di atas surah.

Ini dikuatkan lagi dengan riwayat ad-Dailami daripada Anas yang menyebut : sesiapa yang mengkhatamkan bacaan Fatihah dengan amin, nescaya tidak kekal di langit malaikat yang hampir, kecuali meminta ampun untuknya.
At-Tabarani di dalam kitabnya ad-Doa’, dan Ibn Mardawaih dengan sanad yang daif daripada Abi Hurairah berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda : Amin, khatam Tuhan Rab al-Alamin di atas lisan hamba-hamba-Nya yang beriman. 

Al-Allamah al-Munawi dalam syarah hadis ini berkata : Dengan makna bahawa amin mencegah doa daripada rosak dan ditolak, seperti metrai di atas surah menegah daripada dizahirkan ke tangan orang yang tidak layak.
Orang-orang yang menghendaki sesuatu dan mengaminkannya secara bersekutu akan mendapatkannya dengan doa.

Inilah yang diriwayatkan daripada Abdul Razzak, Ibn Jarir dan Abu as-Syeikh daripada Ikrimah katanya : Nabi Musa berdoa sedangkan Nabi Harun mengaminkan dan Allah memakbulkan untuk kedua-duanya.

Bacaan Fatihah menjadi syarat sah solat mengikut kebanyakan ulama seperti Malik, Shafie dan Ahmad. Sedangkan Mazhab Hanafi dan Abu Thur menganggap tidak wajib, tetapi riwayat Bukhari dan Muslim, hadis Ubadah bin as-Somit daripada Nabi s.a.w. sabdanya : Tidak sah solat tanpa bacaan Fatihah. Justeru pendapat jumhur lebih kuat dari segi dalilnya.

Selepas menyelami makna-makna dan maksud di sebalik tabir ayat demi ayat dalam al-Fatihah, didapati kalam Allah tidak mungkin dapat difahami dengan sepenuhnya oleh akal manusia sekalipun kebijaksanaannya dikurniakan. Inilah mukjizat al-Quran.

Makna dan maksud yang tinggi nilainya dan fahamannya merumuskan dasar-dasar kehidupan Muslim sama ada dari segi akidah, iman, syariat, akhlak hingga kepada tawajjuh kepadanya dalam permohonan hidayah dan istiqamah di atas jalan yang lurus.

Mukadimah dengan sebutan nama Allah sebagai pembuka bicara dan perbuatan orang-orang Islam yang hanya bergantung kepada-Nya sahaja dalam harapan dan pertolongan.

Luahan daripada lubuk hati kesyukuran yang mutlak kepada Allah di atas segala nikmat-Nya dijelmakan dalam ayat yang kedua.

Sifat-sifat Tuhan dipaparkan satu persatu bagi menggambarkan kekuasaan, kebesaran, kerahmatan, pemilikan mutlak dan kerajaan pada Hari Pembalasan.
Pengistiharan kehambaan untuk diabdikan hanya kepada-Nya sahaja, begitu juga permohonan dan pertolongan diungkap selepas lidah dibasahi dengan pujian.

Kemudian pengkhususan permohonan hidayah dilafazkan supaya sentiasa thabit di atas keimanan dan perjalanan orang-orang solihin. Tambahan dengan penjelasan hidayah kepada golongan yang Allah kurniakan nikmat.
Sebaliknya meminta berlindung daripada golongan yang dimurka dan sesat dalam melayari kehidupan dan dijauhi daripada jalan-jalan mereka agar sentiasa dalam inayah Allah s.w.t. Terangkum di dalamnya kisah umat terdahulu

Termakbul 

Ditutup dengan khatimah doa – amin, semoga segala kehendak itu termakbul dan dimustajabkan Allah. Justeru surah ini dinamakan Um al-Kitab kerana terkandung di dalamnya segala maksud-maksud asas.

As-Syeikh Hasan al-Banna dalam penutup tafsir surah al-Fatihah mengungkap kata : Bersungguhlah kamu membaca dalam solat dan lainnya dengan perlahan dan penuh perhatian, khusyuk dan menghinakan diri, berhenti di setiap kepala ayat (tempat waqaf) dan berilah hak-hak bacaan mengikut tajwid tanpa menyusahkan dan memayahkan diri sehingga banyak menyibukkan lafaz-lafaz daripada makna-makna. Ini boleh menolong kefahaman dan tiadalah sesuatu yang lebih manfaat untuk hati daripada membaca al-Quran dengan tadabbur dan khusyuk.

kredit untuk DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI dan Ibnu Abbas


Ikatlah ilmu dengan menulisnya.











KEISTIMEWAAN AL - FATIHAH [ VOL - 3 ]

 

Sirathal mustaqim – Mengapa kita meminta hidayah?

Tafsir Al-Quran & Asbabun Nuzul

AYAT keenam (IHDINAS SIRATHAL MUSTAQIM). Maksudnya : Tunjukkilah kami jalan yang lurus. Ibnu al-Jauzi melalui tafsirnya, Zad al-Masir menyebut empat pendapat pada maksud ihdhina. 


1. Thabit dan tetapkan kami sebagaimana pendapat Ali dan Ubay.
2. Tunjukkan kami.
3. Taufiqkan kami.
4. Ilhamkan kami.

Hidayah dalam al-Quran mengandungi beberapa makna :

- Hidayah umum bagi semua makhluk.
- Hidayah petunjuk dan mengetahui kebaikan.
- Hidayah taufiq, ilham dan masuk ke dalam hati.

Yang dimaksudkan hidayah di sini ialah yang ketiga.

Selesai memuji Allah amat sesuai meminta seperti firman Allah dalam hadis qudsi : Separuh untuk-Ku dan separuh lagi untuk hamba-Ku, dan hamba-Ku apa yang diminta.

Inilah keadaan yang paling sempurna selepas puji. Kemudian meminta hajat menjadi lebih mudah ditunaikannya seperti pendapat Ibn Kathir.

- Sirathal Mustaqim. Sirath dibaca dengan sad atau sin mengikut qiraat mutawatir. Dinamakan sirath kerana perjalanan mudah tanpa menelusuri kepayahan dan kesibukan.

Lafaz sirath menunjukkan syariat, hukum-hukum, nasihat dan peringatan, segala keterangan agama yang berkaitan dengan akhlak hamba yang zahir dan batin dalam kehidupan dunia beribadat untuk Tuhan mereka.

Ibn Jarir berkata : Ijmak ummah daripada ahli tafsir semuanya bahawa sirathal mustaqim ialah jalan yang terang yang tidak bengkang bengkok. Begitu bahasa semua orang Arab.

Kemudian ulama berselisih pada mentafsirkan sirath, iaitu jalan. Sekalipun kembali kepada satu sahaja iaitu mengikut bagi Allah dan Rasul, ada riwayat menyebut kitab Allah.

Di sini disenaraikan makna lain bagi sirath :

1. Mujahid mentafsirkannya dengan kebenaran.

2. Kitab Allah seperti riwayat Ali daripada Nabi s.a.w.

3. Agama Islam seperti pendapat Ibn Mas’ud, Ibn Abbas, al-Hasan, Abu al-Aliah dan lain-lain.

4. Jalan yang membawa petunjuk kepada agama Allah, seperti riwayat Abu Soleh daripada Ibn Abbas dan pendapat Mujahid.

5. Jalan ke syurga seperti yang dinaqalkan daripada Ibn Abbas.

Persoalannya kenapa orang Islam meminta hidayah, sedangkan mereka telah diberi hidayah?

Terdapat tiga jawapan di sini :

1. Maksudnya, tunjukkan kami sentiasa di atas sirathal mustaqim, dibuang perkataan sentiasa seperti pendapat Ibn al-Anbari.
2. Maksudnya, thabit dan tetapkan kami di atas petunjuk seperti percakapan orang Arab.
3. Maksudnya tambahkan untuk kami hidayah.
Hidayah merupakan kurniaan Allah yang paling besar untuk hamba-Nya. Dengan hidayah perjalanan hamba berubah daripada suasana yang penuh dengan maksiat kepada limpahan cahaya iman dan ketaatan, yang akhirnya membawa kebahagiaan dunia dan akhirat.

Tanpa dinafikan hakikat hidayah daripada Allah tetapi permohonannya hendaklah diteruskan kerana arahan Allah dan Rasulnya s.a.w.

Sirathal-mustaqim ialah jalan yang dipilih Allah untuk dirinya dalam perlaksanaan segala takdir, dan pilihan untuk hamba-Nya daripada agama. 

Sirathal mustaqim merupakan jalan Rasulullah s.a.w. dan para nabi dahulu, dan inilah jalan yang diiltizamkam oleh golongan yang diberikan nikmat Allah daripada kalangan nabi-nabi, siddiqin, syuhada dan orang-orang solihin.

Berjalan di atas sirathal mustaqim memerlukan kepada dua perkara asas :
1. Sentiasa istiqamah, thabit dan tetap dalam melakukan perkara fardu dan sunat serta menjauhi daripada yang haram dan larangan.
2. Keikhlasan yang benar dan tawajjuh kepada Allah Tuhan Rabbul `Alamin.

Riwayat Imam Ahmad dan Ibn Majah kadhi Thaubaa bahawa Nabi s.a.w. bersabda, Istiqamahlah kamu dan jangan menghitung, dan ketahuilah sesungguhnya sebaik-baik amalanmu ialah solat. Dan tidak menjaga wuduk kecuali orang yang beriman.
Riwayat Imam Ahmad daripada Anas, sabda Rasulullah s.a.w., Tidak istiqamah iman seorang hamba sehingga istiqamah hatinya, dan tidak istiqamah hatinya sehingga istiqamah lidahnya.

Imam Muslim meriwayatkan hadis Sufian bin Abdillah al-Thaqafi, bertanya Nabi s.a.w. tentang Islam yang tidak pula ditanya kepada orang lain lagi, sabda Rasulullah s.a.w., Katakanlah, Aku beriman dengan Allah kemudian istiqamah.Justeru, gabungan daripada hidayah, iman dan istiqamah dalam kehidupan Muslim merupakan inti pati kejayaannya dalam mengikut sirathal mustaqim.

Ayat ketujuh (SIRATHAL LAZINA AN`AMTA `ALAIHIM GHAIRIL MAGHDHUBI `ALAIHIM WA LADDHAALIN)
Maksudnya : (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.
-Sirathal lazina an`amta `alaihim. Selepas diminta hidayah sirathal mustaqim, diulangkan lagi maksudnya sebagai penguat dan tafsiran jalan yang diberikan nikmat oleh Allah.

Allah sendiri mentafsirkan nikmat kurniaan-Nya kepada golongan tertentu seperti maksud firman-Nya dalam surah an-Nisa’ ayat 69 dan 70 maksudnya :

Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahkan nikmat oleh Allah, iaitu para nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah kurnia daripada Allah, dan Allah cukup mengetahui.

Golongan yang mendapat nikmat Allah :

1. Para nabi dan rasul.
2. Para siddiqin.
3. Para syuhada.
4. Para solihin.
5. Para orang yang baik.

As-Syaukani berkata, diumumkan lafaz nikmat supaya dapat dimasukkan semua.

Ayat ini sebagai dalil bahawa sebesar-besar nikmat Allah ke atas hamba-Nya ialah nikmat hidayah dan taufiq kepada iman.

Tanpa dinafikan nikmat yang cukup banyak tidak mungkin dihitung seperti yang diketahui.

kredit untuk DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI dan Ibnu Abbas


Ikatlah ilmu dengan menulisnya.











KEISTIMEWAAN AL - FATIHAH [ VOL - 2 ]

 bersambung dari Keitimewaan Al-Fatihah [ vol -1 ]

Ibadah – Matlamat asal ciptaan jin dan manusia

Tafsir Al-Quran & Asbabun Nuzul

AYAT ketiga (AR-RAHMAN AR-RAHIM). Maksudnya : Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dua sifat ini diambil daripada rahmat, ar-Rahman atas wazan – fa’lan – untuk menunjukkan lebih dan banyak, kerana hendak diibaratkan dengan banyaknya rahmat


`Ar-Rahman’ – sebahagian ulama menganggap khusus untuk nama Allah dan tidak digunakan sifat yang lain, hampir-hampir menjadi nama khusus. `Ar-Rahim’ – juga diambil daripada rahmat, atas wazan – fa`ill – menunjukkan banyak tetapi lafaz `Rahman’ lebih banyak hurufnya daripada `Rahim’. Dan keputusan kaedah oleh ulama bahasa Arab bahawa bertambahnya binaan huruf menunjukkan bertambah maknanya.


Secara umumnya, Rahman memberi makna segala nikmat yang besar. Sedangkan makna Rahim segala nikmat yang seni lagi kecil. Ada pendapat yang mengatakan bahawa kedua-dua lafaz ini memberi makna yang satu kecuali yang kedua menjadi penguat kepada yang pertama. Inilah pendapat as-Sobban dan al-Jalal. Tetapi pendapat ini daif. 

Ibn Jarir menegaskan, tidak ada di dalam al-Quran kalimah tambahan tanpa makna yang dimaksudkan. Himpunan antara ar-Rahman dan ar-Rahim kerana beberapa perkara:

- Penguat pujian kepada Allah dengan sifat rahmat-Nya yang memberi kesan kepada hamba-Nya.

- Meminta rahmat dan kasih sayang bagi menunjukkan sangat suka dengan nikmat Allah, ihsan dan banyak kurniaan-Nya.

- Isyarat kepada rahmat-Nya dengan mengutus nabi akhir zaman sebagai rahmat untuk sekalian alam, termasuk menurunkan al-Quran dan lain-lain.

- Isyarat kepada sempurnanya rahmat Allah yang besar dan seni terhadap hamba-Nya di dunia dan akhirat.

Kebanyakan lafaz `Rahman’ digunakan dalam al-Quran merangkumi rahmat kepada orang Islam dan bukan Islam. Sedangkan lafaz `Rahim’ digunakan untuk rahmat yang khusus bagi orang yang beriman. Justeru banyak ayat `ar-Rahim’ datang dengan ibarat `al-Ghafur’ Maha Pengampun yang tidak dapat kecuali orang yang beriman. Inilah khusus al-Quran.

Himpunan antara ar-Rahman dan ar-Rahim adalah di atas jalan takhsis (khusus) selepas umum. Inilah pendapat Sheikh Abdur Rahman Habannakah dalam tafsirnya, Ma`arij at-Tafakkur. 

Ibn al-Qayyim berkata: Himpunan antara ar-Rahman dan ar-Rahim mempunyai makna yang cukup indah, iaitu ar-Rahman menunjukkan sifat yang berdiri bagi Allah, sedangkan ar-Rahim menunjukkan bergantungnya dengan apa yang dirahmatinya, seolah-olah yang pertama sebagai sifat dan yang kedua sebagai perbuatan. Kemudian beliau menambah noktah ini : Kamu hampir tidak mendapati pada mana-mana kitab. Inilah pendapat yang rajih mengikut ahli tahqiq.

Faedah sebutan ar-Rahman dan ar-Rahim selepas lafaz `Rab al-`alamin’ ialah lafaz Rab menggambarkan kebesaran, ketua dan kuasa. Boleh jadi tanggapan pandangan bahawa Rab ini amat keras tanpa kasihan belas terhadap hamba-Nya yang sudah tentu diselubungi hatinya perasaan takut dan putus asa. 

Justeru amat munasabah didatangkan dengan jumlah ini untuk mengesahkan bahawa Rab ini bersifat Rahman dan Rahim. 

Abu Hayyan dalam tafsirnya, Bahru al-Muhit berkata : Dimulakan dengan sifat rububiyah jika Rab dengan makna ketua, tuan atau pemilik yang berhak diabdikan. Jadilah ia sifat perbuatan baginya. Justeru sifat Rahmaniah dan Rahimiah dinyatakan untuk membuka ruang cita-cita hamba dalam memohon keampunan sekalipun sudah tergelincir.

- Ayat keempat (MALIKI YAUMID DIN). Maksudnya : Yang menguasai hari pembalasan. `Maliki’ dengan dipanjangkan `ma’ memberi maksud pemilik, sedangkan `ma’ tanpa dipanjangkan memberi maksud raja. Kedua-dua bacaan ini mutawatir mengikut bacaan qurra’ yang sepuluh. Syeikh Abdul Rahman Habannakah berkata : Dua bacaan ini saling menyempurnakan dalam menunaikan makna yang dikehendakinya.

Allah pada hari tersebut adalah raja pada setiap sesuatu dengan kerajaan-Nya yang besar, tanpa sebarang sekutu dalam kerajaan-Nya walaupun dalam bentuk gambaran sekalipun. Allah juga pemilik pada hari tersebut yang tidak disertakan oleh mana-mana makhluk dalam pemilikannya.

`Yaum’ dengan makna hari, masa, zaman dikehendaki juga dengan setiap sesuatu padanya yang maddi atau maknawi. `Ad-Din’ bermakna agama atau disebut hari balasan dan penghisaban Allah terhadap hamba-Nya. 

Syeikh Sirajuddin berkata : Ayat ini menegaskan beberapa perkara:

- Ingatan kepada wujud dan benarnya hari ini sebagai pembalasan.

- Ingatan kepada amalan yang baik kerana pasti dibalas mengikut amalan masing-masing.
- Hikmah yang sebenarnya kerana orang baik dan jahat tidak sama, justeru hari ini sebagai pemisah.

- Dalil bahawa semua hamba yang mukalaf dikurniakan Allah akal, fikiran, ikhtiar dan kudrat yang memungkinkan bagi mereka melakukan kebaikan dan kejahatan. As-Syahid Syed Qutb mengibaratkan ayat ini dengan gambaran yang besar lagi mendalam berhubung dengan keseluruhan iktikad Hari Akhirat yang menjadi pemisah antara dua golongan manusia yang beriman dan yang ingkar

As-Syahid Hasan al-Banna menafsirkan bahawa jika perkara yang demikian, jadilah hamba yang mukalaf mencari kebaikan dan jalan yang selamat lebih penting daripada segala-galanya. Sabda Rasulullah s.a.w. di dalam hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim daripada hadis Syaddad bin Aus: “Orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa muhasabah dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati.”

Inilah juga kenyataan Umar al-Khattab : “Hisablah (hitunglah) dirimu sebelum kamu dihisab.”

- Ayat kelima (IYYAKA NA’BUDU WA IYYAKA NASTA`IN). Maksudnya : Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan. 

`Iyyaka na’budu’- Makna ayat ini seperti kata Ibn Abbas : Kami ibadah kepada-Mu dan tidak ibadah kepada yang lain. Didahulukan kalimah `kepadamu’ daripada kalimah `kami ibadah’, bertujuan kesungguhan prihatin dan orang Arab mendahulukan yang paling penting daripada yang penting seperti jawapan al-Qurtubi. Didahulukan yang kena buat (maf`ul) daripada perbuatan memberi maksud terbatas dan takhsis kepada ini sahaja. Dalam ibarat yang lain – 

Ya Allah kepada-Mu saja kami ibadah dan kepada-Mu sahaja kami minta tolong. Bahasa yang digunakan adalah ramai – kami ibadah dan kami minta tolong, sedangkan mungkin pelaku ibadah seorang saja.

Abi Su’ud berkata : Ini kerana pengiktirafan hamba betapa lalai dan cuainya dia ketika berdepan di pintu Raja segala Raja (Allah) yang dimintanya pertolongan hidayah secara perseorangan, seolah-olah dia berkata : Hai Tuhan, aku hamba yang fakir lagi hina tidak layak untuk munajat-Mu secara bersendirian. Justeru aku sertakan bersama ahli tauhid dan aku berdoa bersama mereka, justeru terimalah doaku bersama mereka. Ini kerana kami semua ibadah kepada-Mu dan meminta pertolongan dengan-Mu. 

Syeikh Abdullah Sirajuddin dalam tafsirnya menambah sebab yang lain, iaitu digunakan `kami’ pada ibadah dan meminta tolong sebagai iklan betapa berhajatnya semua untuk ibadah kepada Allah yang menciptakan mereka.
Ibadah pada bahasa ialah kehinaan, ketundukan dan kepatuhan

Pada syarak pula ialah:

- Perlaksanaan hamba segala perbuatan dan perkataan yang disyariatkan Allah dengan disertakan ketaatan dan ketundukan untuk Tuhannya.

- Ibn Khatir mendefinisikan ibadah pada syarak dengan ibarat daripada himpunan kesempurnaan kasih sayang, tunduk dan takut.

- Ibn Jarir mendefinisikan ibadah ialah, taat, tunduk, patuh dan merendah diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t.; mengakui dan meyakini bahawa Allah sahajalah yang layak menjadi tumpuan segala ketaatan, tunduk patuh, merendah diri, takut dan mengharap.

- Al-Alusi pula mendefinisikan ibadah ialah, tahap tertinggi daripada segala ketundukan dan kepatuhan yang tidak mungkin berlaku dari segi syarak dan akal mengerjakan ibadah selain-Nya.

Ibadah diasaskan kepada beberapa faktor:

- Ma’rifah kepada Allah dan iktikad keEsaannya.

- Taat kepada Allah dengan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang melalui Rasulullah s.a.w.

- Pemerhatian bahawa kesemuanya itu bagi melaksanakan kewajipan hak Allah seperti hadis Muaz yang bersama Rasulullah s.a.w. ditanya tentang hak Allah terhadap hamba dan hak hamba terhadap Allah.

Rahsia ibadah dan kesannya:
 
Terdapat banyak kelebihan ibadah, antaranya:


- Menghampirkan diri kepada Allah.
- Dengan beribadah, hati, roh dan jasad hamba menjadi sebati dalam ketaatan.
- Dengan beribadah dapat menukar pengabdian yang umum kepada yang khusus.
- Dengan beribadah hamba berada dalam pemeliharaan Tuhan.
- Mendapat kegembiraan daripada Allah.
- Mendapat keamanan daripada Allah.
- Dapat mengecapi kemanisan iman.

`Iyyaka nasta`in’- Oleh kerana hamba semuanya fakir dan berhajat kepada Allah Yang Maha Kaya, Kuasa dan Sempurna, justeru permintaan hendaklah diadukan kepada-Nya juga. 

Hadis Mu’az, Nabi bersabda : “Ya Mu`az, aku kasih kepadamu, aku wasiatkan supaya jangan kamu tinggalkan selepas solat doa ini, `Ya Allah tolonglah aku untuk mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu dan baik dalam beribadah kepada-Mu’.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Meminta doa dan pertolongan kepada Allah merupakan arahan Allah dan Rasul-Nya melalui nas-nas al-Quran dan hadis.

Hikmah didahulukan ibadah daripada meminta tolong ialah:
- Ibadah adalah hak Allah, sedangkan meminta tolong adalah permintaan mereka.

- Doa yang didahulukan dengan ibadah amat mustajab, seperti doa orang berbuka puasa ketika berbuka adalah mustajab kerana ia dilakukan selepas beribadah, iaitu ibadah puasa.

- Ibadah merupakan amanah yang besar yang dipikul oleh manusia, meminta tolong kepada Allah nescaya Allah menolongnya sehingga dapat ditunaikan hak ibadah dan dapat keluar daripada kezaliman dan kejahilan.

- Konsep ibadah merupakan asal matlamat ciptaan jin dan manusia, justeru perlaksanaannya dengan meminta doa dan meminta pertolongan kepada Allah hingga akhir hayat.

kredit untuk DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI dan Ibnu Abbas

Ikatlah ilmu dengan menulisnya.











KEISTIMEWAAN AL - FATIHAH [ VOL - 1 ]


SURAH ini dinamakan dengan berbagai-bagai nama seperti al-Fatihah, Um al-Kitab, as-Sab’ai al-Masthani dan lain-lain. Imam al-Qurtubi menghitung 12 nama Fatihah, sedangkan al-Alusi menyebut sebahagian ulama mengira sampai dua puluh dua nama, sama ada secara tauqif daripada nabi atau ijtihad para sahabat.
 
Mempunyai tujuh ayat dengan ijmak yang bersalahan ulama pada cara bilangannya, sama ada basmalah termasuk dalam ayat atau tidak.
Surah al-Fatihah termasuk surah-surah Makkiah seperti yang dinyatakan oleh al-Wahidi dalam Asbab an-Nuzul dan ath-Tha’labi oleh Ibn Abi Syaibah, Abu Naim dan al-Baihaqi.

Ada pendapat yang menganggap surah ini termasuk surah Madaniah berdasarkan kepada apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah, Abu Said bin al-A’rabi, at-Tabarani daripada Mujahid daripada Abi Hurairah : menangislah iblis ketika diturunkan al-Fatihah di Madinah.

Menghimpun
Pendapat yang ketiga, ia diturunkan dua kali, Mekah dan Madinah sebagai menghimpun antara riwayat-riwayat.

Nas-nas hadis yang menunjukkan banyak kelebihan surah al-Fatihah antaranya :

1. Sebesar-besar surah dari segi kelebihannya seperti riwayat al-Bukhari daripada Abi Said bin Mu’alla.

2. Tiada tandingan dan bandingan dengan mana-mana surah dan kitab seperti Taurat, Injil, Zabur dan al-Furqan daripada surah al-Fatihah seperti riwayat Imam Ahmad daripada Ubay bin Ka’ab.

3. Dua cahaya yang digembirakan oleh malaikat iaitu al-Fatihah dan penutup surah al-Baqarah seperti riwayat Muslim daripada Ibn Abbas.

4. Penyembuh penyakit seperti terkena patukan ular, kala jengking dan lain-lain. Ini dinyatakan al-Bukhari dan Muslim daripada Abi Said al-Khudri.

5. Kelebihan Fatihah jelas apabila diwajibkan dalam setiap rakaat solat seperti riwayat al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi daripada Abu Hurairah.

6. Menyembuh penyakit gila seperti riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibn Sunni, Ibn Jarir, al-Hakim yang mensahihkannya daripada Kharijah bin as-Salt at-Tamimi daripada bapa saudaranya yang datang bertemu Rasulullah s.a.w. dan pulang, kemudian lalu di perkampungan yang terdapat seorang lelaki yang dirantai dengan besi lantas kata keluarganya : Adakah kamu boleh rawatnya, kerana kamu datang daripada sahabatmu (Rasulullah s.a.w.) yang amat baik.
Aku pun membaca al-Fatihah selama tiga hari sebanyak dua kali pada waktu pagi dan petang setiap hari, aku hembus ke mukanya kemudian dengan izin Allah dia sembuh dan diberikan kepadaku 100 ekor kambing, aku datang kepada Rasulullah s.a.w. dan menceritakannya, sabda Rasulullah s.a.w : Makanlah, siapa yang berjampi dengan bathil? Sesungguhnya kamu berjampi dengan sebenarnya.
Inilah sebahagian daripada fadilat al-Fatihah.

INTI PATI DAN KANDUNGAN

Al-Fatihah mempunyai makna-makna al-Quran yang diasaskan dengan maksud-maksud secara ijmal, terdiri daripada usul ad-din dan cabang-cabangnya seperti akidah, ibadah, tasyri’, iktikad dengan Hari Akhirat, beriman dengan sifat-sifat Allah yang mulia, mengesahkannya dalam beribadat, meminta pertolongan dan doa.

Selain itu memohon hidayah ke jalan yang benar di samping menetapkan iman dan jalan orang-orang solehin, menjauhkan daripada golongan yang dimurka Allah dan yang sesat. Justeru dinamakan Um al-Kitab kerana menghimpun segala maksud-maksud asas.

As-Shahid Hasan al-Banna dalam risalahnya – Mukadimah fi at-Tafsir – berkata : Tiada syak siapa yang tadabbur al-Fatihah yang mulia ini pasti dapat melihat kayanya makna dan keindahannya serta keserasiannya, antara lain dapat dilimpahi cahaya pada hatinya.

As-Shahid Syed Qutb dalam tafsirnya – Fi Zilal al-Quran antara lain berkata : Sesungguhnya surah ini mengandungi inti pati akidah Islamiyah tasawwur Islami, perasaan dan harapan doa kepada Ilahi yang diisyaratkan daripada hikmah pemilihan surah ini pada setiap rakaat solat.

As-Syeikh Abdul Rahman Habannakah al-Midani di dalam kitabnya Ma`arij at-Tafakkur membahagikan inti pati al-Fatihah kepada empat :

1. Asas iman yang wajib diimani hamba-hamba Allah yang diujinya ketika berkelana di dunia secara mesti.

2. Tuntutan Allah terhadap hamba-Nya beribadat dan bergantung kepada-Nya tanpa sekatan dengan yang lain.

3. Agama pilihan Allah bagi hamba-hamba-Nya yang diuji, hanya sirat al-mustaqim yang dapat kemenangan yang disuruh pohon hidayah kepada-Nya.

4. Dua masa ujian, ujian di dunia dalam kehidupan semenjak lahir dan hingga kiamat terhadap tuntutan Allah.

Justeru dinamakan surah ini Um al-Quran kerana rangkuman segala inti pati al-Quran

TAFSIR AYAT PERTAMA
Basmalah maksudnya : Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Makna ayat ini ialah, akan memulakan menyebut nama Allah sebelum setiap sesuatu dengan memohon pertolongan kepada Allah dalam segala urusan, kerana Allah bersifat Maha Perkasa di atas setiap sesuatu.

Ibn Jarir berkata : Sesungguhnya Allah mendidik nabi-Nya Muhammad s.a.w. dalam melakukan segala pekerjaan hendaklah dimulakan dengan nama-nama-Nya yang mulia dan dijadikan sunah bagi sekalian makhluk-Nya sama ada percakapan, surat, kitab dan hajat-hajat.
 

Dicabut
Dinaskan dalam hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya : Setiap sesuatu yang tidak dimulakan dengan basmalah, ia akan terputus. Hadis ini dihasankan oleh an-Nawawi, maksud `terputus’ di sini adalah dicabut daripada kebaikan dan berkat.

Al-Alusi dalam kitabnya – Ruh al-Ma’ani berkata : Ulama khilaf adakah ayat ini khusus untuk umat ini atau tidak? Abu Bakar at-Tunisi menaqalkan ijma’ ulama bahawa Allah mukadimahkan setiap kitab-Nya dengan basmalah.

Dalam basmalah terdapat tiga nama Allah, iaitu Allah, ar-Rahman dan ar-Rahim. Allah adalah nama bagi zat yang wajib ada yang bergantung segala alam dengan-Nya seperti firman Allah s.w.t : Hai manusia, kamu semua fakir (berhajat) kepada Allah, dan Allah bersifat Maha Kaya lagi Terpuji.

Satu-satunya nama yang dikaramahkan Allah ialah nama-Nya sendiri `Allah’ yang tidak disekutukan oleh mana-mana makhluk termasuk manusia yang Islam atau bukan, yang bertamadun atau tidak. Semuanya tidak menamakan anak-anak mereka dengan nama Allah. Inilah ajaib nama ini.

Perbezaan antara Allah dan ilah, iaitu Allah menunjukkan kepada nama khas bagi zat yang Maha Suci tidak disekutukan dengan yang lain, yang bermaksud Tuhan yang diabdikan dengan sebenarnya. Sebaliknya ilah menunjukkan umum, sama-ada kepada Allah, Tuhan yang sebenar atau tuhan-tuhan lain yang bathil.
Ar-Rahman dan ar-Rahim menunjukkan rahmat Allah yang meliputi sekalian makhluk. 

Ar-Rahman dan ar-Rahim apabila disekalikan sebutannya memberi makna yang berbeza. Ar-Rahman lebih umum dan di dunia ini, sedangkan ar-Rahim khusus untuk ahli taat di Hari Akhirat. Sebaliknya apabila disebut ar-Rahman atau ar-Rahim sahaja, ia mewakili antara satu sama lain seperti pendapat Syeikh Abdullah Sirajuddin di dalam tafsir surah al-Fatihah.

Hikmah dikhususkan sebutan ar-Rahman dan ar-Rahim dalam basmalah kerana beberapa perkara :

1. Supaya hamba-Nya tahu bahawa Allah Tuhan mereka bersifat Rahman dan Rahim untuk menjadikan mereka taat dan beribadah memohon kepada-Nya.

2. Nama ar-Rahman meliputi segala alam yang kesannya dapat dilihat dan dibuktikan. Dan semua makhluk seperti manusia, jin dan lain-lain dicipta dengan rahmat Allah, justeru dengan menghayati kalimat ini menambahkan lagi ketaatan kita kepada Allah.

Kenapa disebut dengan nama Allah, bukan Allah sahaja?

Persoalan ini timbul adakah diminta harap atau doa kepada Allah atau nama Allah. Jawabnya : Dengan Allah, tetapi Allah sendiri yang menyuruh bertawassul dengan nama-Nya, justeru tidaklah menjadi masalah.

Kedua, al-Allamah Abu Su’ud membezakan antara sumpah dan minta berkat, ini kerana kenyataan seseorang dengan Allah boleh diandaikan sebagai sumpah dan juga tabarruk. Oleh itu diletakkan nama Allah untuk membezakannya. Inilah yang sahih seperti kenyataan ahli tahqiq daripada kalangan mufassirin.

bersambung sebentar lagi..
kredit untuk Ibnu Abbas



Ikatlah ilmu dengan menulisnya.











Khamis, 15 Julai 2010

Mendidik anak KENAL ALLAH


 Dalam tulisan lepas, kami ada menyarankan agar ibu bapa memperkenalkan perkataan ALLAH dan syahadah kepada anak-anak.

Setelah anak-anak diperkenalkan dengan sebutan perkataan ‘Allah” dan “Lailaha illa Allah”, para ibu dan bapa perlu menyusuli usaha mendidik dengan memperkukuh iman dan keyakinan anak itu kepada Allah. Anak yang masih baru mengenal dunia itu amat mudah untuk menerima dan mempercayai maklumat yang disampaikan.

Oleh kerana maklumat yang tersimpan dalam kotak fikirannya masih sedikit, maka tahap daya kritisnya amat kurang. Apa sahaja yang disebut oleh ibu dan bapa, mudah sahaja ditelan bulat-bulat. Oleh itu, tempoh inilah saat yang paling sesuai untuk memulakan ‘pengajian’ aqidah kepada anak-anak.
Jangan fikir anak-anak anda tidak mampu memahami soal akidah ini. Walau pun aqidah ini perkara abstrak—tidak boleh dilihat dan ditunjukkan melalui pancaindera—namun jika kena cara penceritaannya, anak-anak boleh memahaminya dengan mudah.

Usah dedahkan dahulu soal-soal falsafal yang terhimpun dalam kitab-kitab tauhid yang tebal-tebal itu. Cukuplah dengan mengaitkan iman kepada Allah itu dengan benda-benda yang dilalui dan dirasai oleh anak-anak itu seperti makanan, pokok-pokok, anggota badannya, dan seumpamanya.

Menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan, sejak anak itu mula mumayyiz, mereka sudah boleh didedahkan dengan kebesaran Allah yang mencipta alam yang menakjubkan. Minta mereka fikirkan betapa hebatnya Allah mencipta manusia, binatang, tumbuhan, bumi dan langit. Jelaskan betapa semuanya ini tidak mampu dibuat oleh manusia yang banyak kelemahan.

Bahkan mengenali Allah ini tidak sukar untuk dilakukan dengan memulakan pada anggota badan sendiri. Misalnya, minta anak itu meletakkan telinga ke atas dada ibu atau ayah untuk merasai degupan jantung. Kemudian minta dia merasai jantungnya sendiri dengan tangan. Jelaskan bahawa jantung itu telah bergerak sejak dari dalam perut hingga mati. Jelaskan juga bahawa manusia tidak mampu untuk menggerakkannya jika tanpa kekuasaan Allah. Jika Allah mahu matikan seseorang, Allah boleh hentikan sahaja jantungnya.

Kemudian, ibu bapa boleh teruskan dengan memahamkan si anak bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jelaskan betapa pengasihnya Allah yang memberikan nikmat makan dan minum, tempat perlindungan, kesihatan dan tubuh badan yang sempurna.

Ingatkan dia selalu bahawa setiap rezeki yang diperolehi itu adalah tanda kasih Allah kepada manusia. Galakkan dia mengucapkan rasa syukur sepenuh hati agar semakin dekat dirinya dengan Allah. Jika menonton, terjumpa atau bercerita tentang dengan mereka yang cacat, miskin, atau melarat, janganlah lupa untuk mengingatkan anak agar bersyukur dengan nikmat yang diperolehi.
Fahamkan kepada mereka bahawa Allah kadang-kadang menjadikan manusia dan makhluk lain dengan beberapa kekurangan supaya manusia lain dapat bersyukur dengan kesempurnaan serta nikmat yang diberikan.

Setiap kali mengadap makanan, ibu bapa perlu sentiasa menyebut bahawa rezeki itu dari Allah. Jelaskan bahawa, walau pun makanan atau bahannya itu mungkin dibeli, namun hakikatnya ia datang dari Allah melalui pintu-pintu rezeki seperti kepandaian, kebolehan, pekerjaan yang baik dan gaji yang memuaskan.

Bandingkan dengan orang lain yang susah dan tidak ada makanan untuk dijadikan santapan. Cara ini insyaallah mampu meningkatkan keyakinan tentang sifat Allah Yang Maha Pemberi dan Maha Penyayang. Selain itu jangan lupa untuk meminta anak-anak agar mendalami rasa sayang dan kasih kepada Allah sebagaimana Allah mengasihi mereka.

Bila berkelapangan, bawa anak-anak beriadah di taman atau kawasan rekreasi. Sambil berseronok bermain, jangan lupa untuk sebutkan tentang kehebatan Allah yang menjadikan alam yang sangat cantik. Sebutkan tentang kerdilnya manusia yang tak mampu untuk membuat makhluk seumpamanya walau pun sebesar semut. Kaitkan juga dengan hakikat bahawa makhluk-makhlik Allah itu termasuk pohon-pohon, batu, air, binatang dan tanah sentiasa berzikir kepada Allah dengan bunyi yang tidak didengari atau dalam bahasa yang difahami manusia.

Kemudian, paparkan pula keyakinan kepada sifat Allah yang Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Meneliti dan Maha Mengetahui apa sahaja yang berlaku di alam ini. Yakinkan si anak bahawa Allah sedang memerhatikan apa yang sedang manusia lakukan.
Pendekatan ini amat penting untuk melahirkan sifat ihsan dalam diri anak. Sebagaimana sabda

Rasulullah SAW tentang ihsan iaitu:

“Agar kamu menyembah Allah seolah-oleh engkau sedang melihatNya. Andaikata engkau tidak mampu melihatnya, maka yakinlah bahawa Dia tetap melihat engkau”.
Sifat ihsan ini adalah teras dalam mengukuhkan aqidah anak-anak. Imam Al-Ghazali membawa satu kisah Sahel bin Abdullah Al-Tustari dalam kitab Ihya Ulumiddin.

Sahel berkata: Ketika aku berusia tiga tahun, aku sudah bangun malam, maka aku perhatikan solat bapa saudaraku, Muhammad bin Siwar. Pada suatu hari, dia berkata kepada ku: Tidakkah engkau berzikir kepada Allah yang menjadikan engkau? Aku menjawab: Bagaimana aku berzikir kepadaNya? Muhammad bin Siwar menjawab: Sebutkan dalam hati mu ketika engkau berbalik-balik di tempat tidur tiga kali, tanpa engkau menggerakkan lidah mu: “Allahu ma’ani, Allah naazirun ilayya, Allah syaahidi” (Allah ada bersama-sama ku, Allah melihat kepadaku, Allah memerhatikanku)

Renungilah bagaimana Rasulullah mentarbiyah seorang anak kecil iaitu Abdullah bin Abbas r.a. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi.

Abdullah mengatakan bahawa:
“Pada satu hari aku menunggang bersama di belakang Nabi SAW. Lantas, Baginda bersabda: Wahai anak kecil!

Aku akan mengajarimu beberapa pedoman: Peliharalah Allah, niscaya Dia akan memelihara mu.

Peliharalah Allah nescaya Dia akan berada hampir denganmu. Jika kamu mahu meminta, maka mintalah daripada Allah.

Jika kamu mahu mendapatkan pertolongan, dapatkanlah pertolongan daripada Allah.

Dan ketahuilah, jika manusia berkumpul untuk memberikan manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan dapat memberikannya melainkan dengan ketetapan dari Allah. Dan jika mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak mampu melakukannya, melainkan dengan ketetapan oleh Allah ke atas kamu. Pena telah diangkat dan catatan telah kering.”

Demikianlah contoh unggul tarbiyah rabbaniyah yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Paparan ini membuktikan bahawa pendidikan untuk memastikan anak-anak mengenal Allah amat penting untuk dimulakan sejak dari kanak-kanak.

Dengan kesungguhan ibu bapa menerapkan aqidah yang sahih ini insyaallah dapat menjadikan anak-anak tegus mempertahankan aqidah walau pelbagai gelombang dugaan dan cubaan yang dihadapinya.

Kita sama-sama doakan agar anak-anak kita hampir dengan ALLAH sejak dari kecil lagi.

kredit untuk Abi Muslih & Mama Farhah.

GUNAKAN GAYA PENDIDIKAN IMAN KEPADA ANAK YANG BARU LAHIR

Nak didik apa dulu. ABC ke, 123 ke atau apa? Inilah antara persoalan yang dilontarkan kepada kami. Melalui catatan ringkas ini kami cuba mengulas tentang pendidikan yang pertama dan utama serta beberapa persepsi yang menyebabkan manusia muslim kadang-kadang alpa memberikan perhatian tentangnya.

Rakan-rakan sekalian, sebenarnya perkara pertama dan utama dalam pendidikan anak-anak muslim adalah pendidikan iman.

Iman adalah teras pembangunan insan setiap manusia. Iman adalah senjata dan santapan rohani yang disediakan oleh Yang Maha Mencipta untuk menyinari jiwa makhlukNya yang bernama manusia. Iman adalah modal terbesar yang menentukan jatuh bangunnya seorang insan, bahkan menentukan masa depan sesebuah keluarga, masyarakat dan negara. Iman jugalah yang menjadi satu-satunya pokok persoalan dalam menetapkan nasib berkekalan buat setiap sekujur tubuh manusia di akhirat nanti.

Jika murni jiwanya dengan iman, maka dia layak menghuni syurga buat selama-lamanya. Jika kosong hatinya dari nur iman, maka dia akan terperosok dalam lubang neraka sampai bila-bila.

Wajah putih bersih anak-anak kecil menggambarkan betapa luhurnya naluri keinsanan yang ada padanya. Sebagaimana sabda Junjungan SAW, setiap bayi yang lahir itu suci seumpama kain putih. Tiada sebarang cacat dan calit. Maka, para ibu bapa, penjaga dan pendidiknyalah yang akan menentukan warna kain yang putih itu. Putih bersih itu adalah ibarat kepada fitrah yang berpaksikan kemurnian iman.

Sejak dari awal lagi, manusia bermula dengan beriman sebagai sebahagian dari fitrahnya. Fitrah yang terbina melalui janji datuk sekalian manusia iaitu Adam a.s yang menzahirkan imannya di hadapan Allah. Juga fitrah yang bertapak dari janji keimanan setiap roh manusia sewaktu mereka masih di alam roh lagi.

Maka, para ibu dan bapa selaku pendidik tidak perlu mencari apa-apa warna lain, atau membiarkan sesiapa mewarnakan anak-anaknya dengan warna yang lain. Biarlah iman terus melebar dan subur sebagai perisai dan pencuci dalam jiwa anak-anak bagi memastikan warna putih bersih itu sentiasa terjaga dari sebarang kotoran.

Oleh itu, pendidikan keimanan bermaksud memupuk jiwa dan perlakuan anak-anak agar meyakini dengan seteguhnya dasar-dasar aqidah, seterusnya menjelmakan keyakinan itu dalam bentuk ibadah dan akhlak yang luhur. Asas-asas keimanan meliputi keyakinan kepada Allah, Rasul, Malaikat, Akhirat, Kitab dan qadar qadar.

Pendidikan keimanan ini memerlukan pendedahan bijaksana dan ingatan berterusan lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan soal-soal ghaib. Soal ghaib bermaksud, perkara yang tidak dapat atau belum dapat dilihat, didengari atau dirasai oleh pancaindera manusia. Bagi memahamkan anak-anak dengan perkara ghaib ini, para ibu bapa tentunya perlu terlebih dahulu mempunyai keyakinan dan kefahaman yang jitu.

Mempupuk keimanan yang mantap ini harus bermula sejak dari kanak-kanak itu masih kecil. Ada di kalangan ibu bapa yang membiarkan anak-anak tidak memahami tauhid, dan mengharapkan agar perkara itu dipelajari bila mereka menjejak kaki ke sekolah kelak.

Ada yang memandang rendah kepada anak-anak dengan menyangka bahawa mereka terlalu muda untuk memahami soal aqidah ini. Tidak kurang juga yang tidak membuka mulut kepada anak-anak dalam soal akidah ini lantaran sikap tidak ambil pusing. Selain itu terdapat pula ibu bapa yang tidak menceritakan soal aqidah kerana mereka tidak mempunyai kebijaksanaan untuk menjelaskan persoalan ini menggunakan bahasa anak-anak dan pendekatan yang serasi dengan tahap daya fikir mereka.
Inilah salah tanggapan yang menyebabkan pendidikan iman ini diabaikan.

Insyaallah dalam catatan berikutkan kami akan cuba mengupas beberapa aspek keimanan yang perlu diserapkan kepada anak-anak.

kredit untuk Abi Muslih dan Mama Farhah



Ikatlah ilmu dengan menulisnya.











Isnin, 12 Julai 2010

ALHAMDULILLAH SAYA SUDAH BERGELAR AYAH : AKHI FIRDAUS


 Arah ke bilik bersalin anak sulung kami
Doa untuk bayi yang baru lahir ,
Allah berfirman:...Aku melindungi dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya daripada godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan). (ali-‘Imran: 36)
Alhamdulillah,segala puji dan syukur saya panjatkan kepada ALLAHUAKHBAR.Dialah yang bernama Ar-Razzaq , Yang Maha Pemberi Rezeki ,Dialah An-Nur yang memberi harapan kepada sesama manusia,memberi bantuan kepada yang memerlukan,Yang Menerangkan , cahaya yang menerangkan kegelapan.Dialah juga Al-Khaliq , Maha Pencipta dari sesuatu yang tiada kepada ada.Dialah juga yang menciptakan manusia.Jika tidak keranaNya kita semua tidak berada disini.
Rindu dan cinta kepada penyelamat ummah penawar qalbu, insan yang menjadi kekasih hati iaitu Rasulullah SAW.Obor sinar Islam yang dibawakan oleh Habibullah ini tidak terpadam walau sedetik  dari masa masa yang berlalu.Pantas 1400 tahun yang lalu meninggalkan kita dengan api keimanan dan ketaqwaan.Ia masih bersinar terang memancar harapan keadilan oleh Islam untuk semua bangsa manusia.Allahumma solliala Muhammad.Selawat dan Salam keatas baginda.
Jari jemari ini menulis melewati masa sepatutnya.Namun ia tidak boleh berhenti lagi untuk menari-nari di atas pentas papan kekunci ini.Hanya kerana kurniaan Allah Rabbul Izzati yang tidak terperi dalam hidup saya dan zaujah [ isteri ] .Alhamdulillah.
 Menyusun langkah ke dewan bersalin
Baru sahaja beberapa jam pada malam tadi , kaki ini melangkah masuk ke dalam bilik bersalin.Demi menyambut satu kehadiran baru.Hadir membawa sinar.Kelahiran  puteri aset jihadku.
Berada bersama zaujah dalam dewan bersalin adalah saat yang tidak dapat dilupakan.Genggaman erat tangan zaujah serta keazaman jururawat serta bidan yang bertugas menguatkan tekad daku untuk terus bersama dalam dewan itu.Perlu dimaklumkan , ada juga yang pengsan ketika masuk dalam dewan ini.
Di luar bilik sana , di balik pepohonan bunga bougainvilla ayah serta mak mertua , cik Mah ,Muslim ,Ikram sabar menunggu dengan penuh debaran.Di dada mereka , debaran semakin kencang.
Saya menyusun langkah , mengisi borang di hadapan jururawat bertugas .
Tertera perkataan : Anda dinasihatkan tidak berada disini jika anda mudah pitam dan pengsan.
Allahurabbi,
 Wad Pertama dari luar Taman Hijau
Semoga itu bukan saya.Setelah mendatangani borang itu.Terus ke dewan bersalin.
Disitulah , ketabahan seorang isteri teruji.
Lafaz..ALLAH ALLAH ALLAH.
“Wahai Tuhanku ,berilah aku kesanggupan supaya dapat mensyukuri anugerah Engkau, yang Engkau telah kurniakan kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku dan supaya aku dapat mengerjakan perbuatan baik yang Engkau sukai , dan perbaikilah keturunanku , sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri”
{Surah AlAhqaf : 15}

Jangan berhenti wahai isteriku..
ALLAH ALLAH ALLAH.
Apa yang kita lakukan hanyalah untuk kembali kepada ALLAH SWT.
Jururawat dan bidan sahaja disitu.
 Duhai isteriku,
Tatkala melihat wajahmu dengan sepenuh tenaga bertarung nyawa.Rasa keinsafan melalui jaluran hati ini.Bagaimana dengan bonda saya sebelum ini , sewaktu melahirkan daku dengan penuh susah payah.Begitulah harga pengorbanan seorang ibu.Sakit bersalin,itu menggugurkan dosa.
Alhamdulillah ,setelah zikrullah disulam dengan kesungguhan nasihat dari jururawat.
Terdengar tangisan seorang anak.Anak abi dan umi.Seorang puteri.
 Puteri Aset Jihadku.
Lantas dibersihkan anak itu dan terus diazankan di kanan telinganya..
Lafaz kalimah mulia yang mengggetarkan jiwa.
Lafaz pertama mengakui akan keEsaan Allah SWT.
ALLAHUAKHBAR..
ALLAHUAKHBAR..
Alhamdulillah , lafaz Azan itu yang pertama memasuki halwa telinga anak kami berdua.
Saat ini,saat memangku anak,Allahurabbi…satu perasaan yang tidak dapat dikatakan berlaku.
9 bulan 8 hari menunggu..inilah anak dalam kandungan itu.
HAYYA ALA’ SOLAH
HAYYA ALA FALAH
Iqamah pula dialunkan ke telinga puteri solehah kami ini.
Begitulah singkatnya dunia.Di azankan kemudian diiqamatkan.
Anakku,selamat datang ke DUNIA.
Dunia untuk ke akhirat.
Pilihlah jalan solah untuk mendapat falah.
“Ramai orang di dunia ini beragama , praktikkan amalan agama tetapi mereka sebenarnya buta dan tidak kenal Tuhan mereka”
“Anakku selepas ini kamu akan melihat dunia.ALLAH SWT telah menurunkan petunjuknya kepada kita.Tetapi mereka tidak menggunakan petunjuk itu untuk memerintah dunia !Akhirnya, dunia ini musnah!
Moga , didikan agama membuatkan kamu kenal erti berTuhan.
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penambat hati {kami} dan jadikanlah kami imam {ikutan} bagi orang-orang bertaqwa,”
(Surah Al Furqan : 74 )


 Puteriku setelah 2 jam menghirup udara di alam dunia..

Puteri penyeri ummi dan abi...serikandi para mujahid...bidadari buat As-Syahid..Ameen


Ikatlah ilmu dengan menulisnya.















Selasa, 6 Julai 2010

21 MINIT: SUDAHKAH KITA BERSEDIA UNTUK DI ZIARAHI ?





1 minit…

Ucapan salam ditaip..Assalamualaikum

Sewaktu akhi asyik menarikan jari jemari ini menaip patah demi patah perkataan dan melihat monitor komputer riba ini.

Tetikus ini,galak ke sana ke mari..

Mencari warna-warna penyeri bait-bait muhasabah tika ini.

Jantung berdegup kencang,nafas makin laju.

Tazkirah ini menyebabkan diri  terpaku disini

7 minit..

Terasa dahaga..pantas meminum air di sudut kiri meja ini.

Bismillah..

Bimbang.Kematian bagaimanakah yang akan kita tempuh kelak?

Jika baik.Alhamdulillah.

Jika mati dalam kehinaan…apakah mungkin kita dapat menjawab soalan Malaikat Munkar dan Nankir.?

Mari bacakan Al-Mulk dan Al Waqiah.Tadabbur maknanya.

 Kini….

Kita sedang di lawati dan diziarahi oleh Malaikat  Maut.

21 minit telah berlalu..


Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a,
 bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

 "Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70  kali dalam sehari.Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati  orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Malaikat Maut : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk  mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa."


 Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat
 maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan
ini  tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana
 mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai
 perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya
 dengan malaikat maut.


 1 hari = 24 jam = 1440 minit
 1440 minit / 70 = 20.571 minit


 Ini bermakna malaikat maut menziarahi kita setiap 21 minit.


Ikatlah ilmu dengan menulisnya.














 Renung-renungkanlah......

KETIKA CINTA BERBUAH RINDU PADAMU


KETIKA CINTA BERBUAH RINDU PADAMU

 YA ALLAH..YA LATHIF…ANTA YA RABBI..ANTA YA RAHMAN
1. Semasa anak atau suami,isteri kita sedang tidur inilah waktu yang  paling sesuai terutamanya diwaktu dua pertiga malam, kerana fikiran  bawah sedarnya(sub conscius mind) adalah paling optimum ketika ini. Yang  tidur hanyalah conscius mind(minda sedar).
2. Sentuhkan ibu jari anda ke langit-langit dan kemudian sentuhlah  dengan halus ibu jari anda ke ubun ubun orang yang ingin anda nasihati.  

KU BISIKKAN KERINDUAN KEINSAFAN KEPADAMU YA ALLAH ….
3. Semasa ibu jari diatas ubun-ubun selawatlah keatas junjungan  Nabi Muhamad dan bacalah surah al fatihah. Kemudian terus dengan  berzikir didalam hati dan jangan putuskan zikir anda. 


“KU PERDENGARKAN AYAT-AYAT ALLAH SEMOGA KITA BERTEMU DI RAUDHAH JANNAH”
4. Angkat ibu jari anda, kalau boleh janganlah diputuskan zikir  didalam hati dan bercakaplah dengan suara yang agak perlahan agar tidak  sampai mengejutkanya. Beritahulah apa yang ingin anda beritahunya.  Kebiasaannya saya akan menasihati isteri saya agar tidak selalu melewatkan  solat, banyakkan berselawat, banyak bersabar. Nasihatilah orang yang  anda sayangi dengan apa sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan  putuskan zikir anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat anda  

TIDURLAH DENGAN IRINGAN ZIKRULLAH..
ALLAH..ALLAH..
ALLAHU AKHBAR..
ALLAH..ALLAH
ALLAH YA ALLAH

5. Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang menerima  pernyataan anda iaitu kelopak matanya bergerak-gerak. Insyallah saya  doakan diri saya dan  anda berjaya dengan kaedah ini.
Pernah dizaman Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu'man),seseorang  pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah."Tuan, bagaimanakah tuan  mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya. Jawab bapa Imam Abu  Hanifah"Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan".Kalau didengar  pernyataan ini tentu aneh bagi kita bukan. Bagaimana mungkin manusia yang  belum  dilahirkan sudah dididik. Namun apa yang ingin disampaikan oleh  Tsabit (bapa Imam Abu Hanifah) ialah dia sendiri telah diasuh,  manakala isterinya juga sudah dididik dan Hanafi sendiri sudah dididik  sejak dari kandungan lagi. Saya beri anda satu logik akal, acuan yang bulat  mana mungkin menghasilkan kuih segiempat. Begitu juga dengan anak dan  isteri kita. 

Mereka adalah cermin kepada diri kita sendiri. 

Bacakan kisah ini kepada janin yang sedang membesar dalam perut  isteri. Sentiasa berdoa agar dia terus membesar dan dilindungi Allah  sebagaimana Allah memelihara Imam Abu Hanifah. Nasihatkan dia dengan  nasihat yang disuarakan oleh Luqman Al Hakim kepada anaknya. Bacakan kisah  para rasul, para nabi,para sahabat dan salafussoleh yang lain.

Justeru itu,terlebih indah kiranya kita membedah tafsir Al-Quran dan di tadabbur dengan lagu cengkerik malam serta hembusan angin dari bilah-bilah kipas yang memutar perlahan.
InsyaAllah,hati itu akan dilembutkan oleh Allah swt untuk menjadi bekas ilmu yang bermanfaat bagi generasi yang dambakan keredhaan Allah swt.


Ikatlah ilmu dengan menulisnya.














Carilah ketenangan dengan bisikan kerinduan kecintaan kepadaNya.

Wallahua'lam.