Halaman

Ahad, 26 Julai 2009

MOTIVASI MARI MENGAJI




Assalamualaikum dan Alhamdulillah ,

Di atas adalah program bersama ustaz Zamri baru-baru - baru ini.MasyaAllah rindu pada beliau dan adik beliau Zafran untuk bersama dengan motivasi ini.

Kepada ibu bapa di luar sana marilah menghantar anak ke Kem Mantop Ustaz Zamri.InsyaAllah,akan ada perubahan positif pada anak-anak tuan-puan nanti.

Selaku fasilitator pada program kali ini saya beranggapan bahawa banyak yang perlu kita perbaiki terutamanya solat dan bacaan Al-Quran.Juga kesedaran terhadap pendidikan Islam terhadap anak-anak dalam suasana dunia yang amat mencabar dan sepatutnya diatasi dengan langkah-langkah penambahbaikan kepada corak pemikiran cintakan akhirat terhadap anak-anak oleh ibu-bapa moden.

Inilah masanya,sebelum rebung menjadi buluh.......



Dahulu kita adalah anak-anak kecil yang belum baligh dan tidak ditaklifkan oleh Allah dengan syariatnya. Maka apa yang kita buat pada ketika itu semuanya tidak berdosa walaupun pada umumnya ia adalah satu kesalahan seperti mencuri mempelam jiran dan memakannya. Maka perbuatan seperti itu adalah salah tetapi Allah tidak mencatitkan dosa kerana kita belum mukallaf.

Tetapi sekarang kita sudah baligh dan dewasa maka kita tidak lagi boleh melakukan kerja-kerja yang salah seperti ketika kita masih kecil dahulu Allah tidak mencatitkan dosa dan kesalahan yang dilakukan tetapi sekarang Allah akan mencatitnya kerana kita telah menjadi orang mukallaf. Oleh itu tinggalkanlah perbuatan yang salah itu kerana ini adalah kenangan lama yang tidak boleh diulangi lagi.

Dahulu kita muda mungkin semua tindakan kita didorong oleh keseronokan semata-mata tanpa memikirkan apakah ianya baik bagi kita ataupun sebaliknya, kita banyak menghabiskan masa untuk keseronokan sehingga kita lupa dan lalai daripada melaksanakan tanggungjawab kita kepada Allah, lalu masa muda kita telah disia-siakan begitu sahaja.

Tetapi sekarang kita telah dewasa maka tidak sepatutnya kita meneruskan kerja sia-sia diusia muda kita dahulu kerana ketika itu kita tidak banyak mengerjakan ibadah dan kebajikan. Oleh kerana sekarang kita telah dewasa maka sepatutnya kita telah sedar dan insaf segala kesalahan di masa muda lalu. Gunakanlah masa dewasa ketika ini untuk bertaubat dan beramal soleh bagi menghimpunkan pahala sebagai bekalan ke syurga.

Dahulu kita susah, miskin dan sentiasa di dalam kesempitan dan pada masa itu selalu kita memasang angan-angan dan cita-cita kalaulah aku kaya, aku akan belanjakan harta aku untuk kebajikan, aku akan menolong fakir miskin, akau akan beri sumbangan untuk pembinaan masjid, aku akan keluarkan zakat dan berbagai-bagai lagi azam dan cita-cita kita, tetapi semuanya itu tidak dapat kita lakukan kerana kemiskinan dan kesusahan yang menghimpit kita.



Sekarang kita telah menjadi kaya dan berada dalam kemewahan dan kesenangan. Kalau begitu apa yang ditunggu lagi, ambillah kesempatan di atas kesenangan dan kemewahan yang Allah berikan kepada kita untuk membelanjakan sebahagian daripadanya pada jalan Allah seperti yang pernah dicita-citakan pada masa kita susah dahulu. Janganlah kita dihantui dengan perasaan sayangkan harta sehingga tidak sanggup pula membelanjakannya kerana mencari keredhaan Allah.

Seorang sahabat pernah bertanya nabi s.a.w "Wahai Rasulullah, sedekah yang bagaimanakah yang lebih afdhal? Maka Rasulullah pun menjawab, "Kamu memberi sedekah ketika kamu sedang sihat dan terlalu sayangkan harta kamu, di samping kamu sangat mengharapkan bertambah kekayaan dan bimbang menjadi miskin dan janganlah kamu tangguhkan lagi sehingga nyawa sudah berada di hujung halkum.

Dahulu kita sibuk, kita sibuk dengan kerja di pejabat, kita sibuk dengan urusan pernigaan, kita sibuk dengan persatuan dan kita sibuk dalam segala urusan, kerana kesibukan kita itu kita tidak berkesempatan atau sedikit sangat ruang waktu dapat berbuat kebajikan, kita tidak ada masa ke masjid, kita tidak ada masa membaca al-Quran, kita tidak ada masa untuk belajar agama, kita tidak ada masa bergaul dengan masyarakat dan kita tidak ada masa untuk semua itu.




Tetapi sekarang kita kurang sibuk lagi. Barangkali kita sudah ada sedikit ruang masa, perniagaan kita sudah ada orang yang membantu untuk mengurusnya,. Oleh itu, marilah kita gunakan masa yang tidak sibuk ini untuk mendapatkan semula apa yang telah terlepas dan yang tidak sempat kita lakukan pada waktu kita sibuk dahulu. Sekarang inilah masanya untuk banyak berzikir kepada Allah, inilah masanya untuk kita mendalami isi ajaran agama, inilah masanya untuk kita bergaul dan berbuat baik dengan masyarakat dan inilah masanya untuk kita melakukan amal yang soleh sebanyak mungkin.

Kalau dahulu mungkin kita banyak melakukan kesilapan, kita banyak bercakap yang sia-sia dan tidak berfaedah. Tetapi sekarang kita telah sedar bahawa itu semuanya merugikan dan membahayakan diri sendiri, oleh itu biasakanlah diri dengan bercakap benar kerana itulah sifat orang yang beriman dan bertaqwa.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 70-71 bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman,bertaqwalah kepada Allah,dan katakanlah perkataan yang benar,nesaya Allah memperbaiki bagimu amal-amalmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah
mendapat kemenangan yang besar".




Kita sering lupakan tugas dan tanggungjawab kita yang besar, kita seorang bapa tetapi kita telah mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak kita, kita seorang majikan tetapi kita telah mengabaikan tanggungjawab dan kebajikan terhadap kakitangan dan anak-anak buah kita,kita seorang yang berpengaruh dan berkedudukan tinggi tetapi telah mengabaikan orang-orang dibawah kita. Kita seorang pengurus jabatan kita dengan baik dan berjaya tetapi kita terlupa mengurus diri dan keluarga kita sendiri, semua kelemahan dan kekurangan itu telah kita lakukan di dalam keadaan terlupa., tidak sedar dan kerana mementingkan diri sendiri, tetapi sekarang kita
sudah sedar segala kesilapan itu semua.

Oleh itu patutlah sangat kita gantikan kesilapan dan kesalahan itu dengan menghayati ajaran Islam di samping kita penuh insaf dengan bertaubat nasuha kepada Allah S.W.T.

Firman Allah dalam surah Ali Imrn ayat 133 bermaksud:

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa".

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani". (Surah an-Nisa':110)

"MOTIVASI ROH MENYENTUH HATI"
~MNFMA~