Halaman

Khamis, 30 September 2010

DEBUNGA CINTA SEBUAH PERSAHABATAN


LIQO' EIDULFITRI 1431 H BERSAMA KELUARGA BESAR UKHUWWAH
 Dingin malam di puput bayu penghujung lebaran , segarnya diri setelah meneguk air masak dari jug Bio Cera.

“InsyaALLAH,seusai solat isya’ ana jemput antum berdua.Tunggu ya di sana”kataku kepada akhi Safuan dan akhi Abdul Aziz,kedua-keduanya adalah adik adik saya sewaktu di alam pengajian dahulu.

Ukhuwwah kami berbunga hampir setiap musim tanpa henti



Manisnya perjalanan di jalan dakwah apabila terdapat bekalan sahabat-sahabat yang sentiasa memberikan keceriaan dan kegembiraan.Sememangnya kita sedia maklum perkara pertama apabila kita mahu berjalan di atas jalan berduri kita perlu membuang durinya terlebih dahulu.Begitu jugalah apabila kita meniti jalan bersahabat dan berukhuwwah.Perasaan ma’iyatullah ( merasakan diri sentiasa bersama ALLAH )dalam setiap langkah , gerak geri dan tindakan bahkan tatkala diam pada setiap detik adalah perkara yang amat kita dambakan di jalan ini.



SESIAPA YANG ALLAH BERSAMA DENGANNYA,IA TIDAK AKAN KEHILANGAN SESUATUPUN.

SESIAPA YANG ALLAH TIDAK BERSAMA DENGANNYA,MAKA IA AKAN KEHILANGAN DAN SESAT.

Menaiki kereta hadiah bonda dan ayahanda dan mengambil kedua-dua sahabat.Di mata mereka terlihat sinaran ithar.



ALLAHURABBI,

“Ayuh sahabat,malam ini InsyaALLAH kita ke rumah Ustazah Salina dahulu kemudian kita ke rumah Abu Khadeeja.Kita penuhi jemputan mereka dahulu,kemudian baru kita bergerak ke rumah Muallim dan Muallimmah ya”

Mereka terus mengangguk tanda setuju sambil sesekali Akhi Abdul Aziz,tersipu-sipu malu kerana Akhi Safuan menyakatnya “ Enta bila nak walimah ?” Namun , jawap Akhi Abdul Aziz ringkas , “ Sekiranya jodoh itu sudah tercipta di Lauh Mahfudz ,apakan daya untuk ana menolaknya”.

Saya dan isteri hanya tersenyum , tatkala mata masih terfokus dengan pemanduan.

Sebalik kata-kata itu , kenangan lalu mengusik jiwa.Sebelum saya mengucapkan Aku Terima Nikahnya , soalan itu juga kerap ditanya oleh sahabat handai lebih-lebih lagi saudara mara.

Betapa , masa pantas berlalu.Seorang isteri dan anak tercinta kini menjadi keluarga bahagia.Alhamdulillah.

Berada di rumah Abu Khadeeja dan Ustazah Salina hanya sebentar cuma.Adik Khadeeja yang comel itu memanggil-manggil Abinya.Sudah pandai berkata-kata.Saat entri ini ditulis ,Khadeeja demam.Moga demam Khadeeja kebah dengan cepat.InsyaALLAAH.



PERJALANAN MALAM ITU MUATANNYA TAZKIRAH

Akhirnya,kami meneruskan perjalanan .

Kita tahu bahawa para pembuat barangan selalu menyertakan langkah-langkah penggunaan pada alat yang direka cipta agar dapat digunakan dengan cara palingbaik dan tidak mudah rosak.

Selama kita yakin bahawa ALLAH adalah pencipta kita yang mengetahui segala hal yang berhubung kait dengan kita , yang bermanfaat dan yang membahayakan kita serta merosak dan memberi manfaat kepada kita,ALLAH telah mengawal aturan-aturan yang tertera di dalam kitabNya dan Sunnah RasulNya,maka seluruh kehidupan kita perlu dengan Ukhuwwah Fillah.

Sahabat yang memperbaiki dan dibaiki diri dan mengajak orang lain kepada seruan kebaikan.




Apabila kita berukhuwwah fillah :

Kita bukan ketinggalan zaman kerana sebahagian dari kaum muslimin menganggap adat dan tradisi kehidupan Barat itu maju dan lebih mendekati kesempurnaan,sementara adat kita terkebelakang dan konservatif.Padahal yang sebenarnya kita yang telah jauh dari sunnah Nabi dan ajaran Islam ,sebaik-baik sistem hidup dan semaju-maju tingkat peradaban bagi manusia,sebab Rasulullah saw tidak berbicara atas dasar hawa nafsu akan tetapi menyampaikan ajaran ALLAH Yang Maha Sempurna.



Apabila kita bersahabat kerana berkongsi fikrah indahnya Islam yang jelas :

Maka kita perlu mengikuti seluruh bidang kehidupan ini dengan hidup penuh sedar , benar-benar prihatin dan mendisplinkan jiwa , hingga aktiviti yang kita lakukan atau kata-kata yang kita ucapkan tunduk dengan kawalan rohani,kita akan memeriksanya sebelum kita dihisab pada hari kiamat nanti.Ini merupakan bekal yang amat besar.



Apabila keindahan berkawan di dasari dengan aqidah yang sejahtera :

Kita akan menolak budaya –budaya berkawan kotor dari barat dan budaya-budaya anasir kuning yang lain.Sikap ‘Pak Turut’ terhadap kebudayaan dan peradaban asing mempengaruhi kehidupan kaum Muslimin ketika ini disebabkan perasaan rendah diri ( inferiority complex ) dan persepsi yang keliru,bahawa kaum Muslimin tidak akan maju mengikuti kemajuan Barat sekiranya tidak mengikut budaya berkawan mereka ( F.R.I.E.N.D.S).Lihat sahaja siri televisyen yang popular dilakonkan oleh Jennifer Aniston dan lain-lain meraih anugerah pelbagai dan bertahan bertahun-tahun dalam rangking siri komedi terbaik di seluruh dunia.Isinya sahaja menjaja budaya berkawan gaya Amerika yang tidak wajar diikuti.



GHUZWATUL FIKR menyerap minda REMAJA

Hasilnya , jiwa mungkin terpengaruh.Oleh itu berkawan itu bukanlah sesuatu bentuk kosong tetapi perlu diisi dengan aktiviti yang dinamik.Kerana itu bila kita menerima bentuk peradaban barat maka dengan perlahan-lahan tapi pasti,nilai-nilai yang ada padanya akan merasuk dan mempengaruhi kehidupan kita,lalu mengubah orientasi kita tanpa disedari.



Oleh itu,moga ukhuwwah dan persahabatan ini kekal selamanya hingga bertemu kembali semuanya di rumah asal kita di alam sana.

Justeru itu,sesungguhnya ALLAH menyukai persoalan-persoalan mulia dan membenci hal-hal yang tidak bernilai.Maka dengan melakukan amal salih bererti kita selalu hidup bersama kemuliaan dan menghindari perkara-perkara yang tidak berharga.Ini juga merupakan bekalan.



‘Amal salih boleh menjadikan pelakunya contoh tauladan yang baik bagi orang lain.Itu semua dapat membentuk penyebaran nilai-nilai mulia di tengah masyarakat.Contoh teladan nyata itu lebih berkesan berbanding dengan perkataan atau tulisan.

‘Amal salih boleh membimbing orang yang tidak terpelajar dengan bentuk nyata,bukan dengan kata-kata.Sebagaimana ia juga dapat memberi bimbingan kepada orang yang tidak dapat membaca atau orang yang tidak mempunyai waktu untuk membaca.



Moga apabila bersahabat ini kerana ALLAH :

Di terima sebagai amal soleh,dan kesempatan kita hidup di dunia ini ,raikanlah sahabat dan carilah ramai sahabat kerana ia juga adalah amalan salih bagi melaksanakan perintah-perintah ALLAH SWT dan menjauhi segala larangan-larangaN ALLAH.



ALLAH tidak memerintahkan sesuatu pada kita kecuali yang baik untuk kita dan orang lain,serta tidak melarang kecuali dari yang buruk untuk kita dan orang lain.

Masing-masing mempunyai kesempatan dan kemampuan berupa waktu,tenaga,kesihatan dan pemikiran,harta dan jiwa.

Bila semua itu dicurahkan untuk persahabatan kerana ALLAH,maka hikmah dari perintah-perintah ALLAH akan wujud , iaitu kita akan menjadi sumber kebahagiaan bagi diri sendiri dan bagi kemanusiaan secara umum.



Sebaliknya jika kita bersahabat dan membuat amal yang tidak baik seperti mengumpat dan seumpamanya maka yang terjadi adalah kerosakan dan memusnahkan diri sendiri-kita berlindung dari ALLAH dari hal seperti itu.



Secebis kata-kata Muallim tatkala berpisah seusai pertemuan.

“Ukhuwwah ini umpama pohon perlu di semai,dibaja disiram maka hasilnya dengan izin ALLAH buah yang ranum”Persahabatan begitu jua,kemanisan itu dapat dinikmati apabila kita tidak mengambil hak ALLAH keatas hambaNya”



Dalam kata-kata itu..

“Kosongkan segala mazmumah dari jiwa saudara” dan puncaknya adalah Ithar.



Ikatlah ilmu dengan menulisnya.










Selasa, 21 September 2010

SEGUNUNG DOSA ATAU SEMANCUNG HIDUNG


 Sahabat - sahabat akhi yang memaknakan  ziarah ,hadirnya kalian membawa rahmat kepada keluarga kami,memperkukuh ukhuwwah meraut kasih kerna mencintai ALLAH SWT.
Generasi awal menganggap dosa seperti dihempap gunung tetapi generasi kini menganggap dosa seperti lalat hinggap di hidung.

Apa maksud ustaz?  tanya Muiz adik kecil yang beraya,sambil mulutnya memamah Almond London,penuh coklat dipipinya.
Sekadar ringkas  Muiz melontarkan soalan.
Renungan mata sahabat yang lain membulat , singgah di kelopak mata saya.
Memandang satu persatu mereka yang hadir hendak beraya , sambil memberi makna erti sebuah perayaan.
Begini,kepekaan terhadap sesuatu menjadikan adik orang yang hebat.
Apabila adik membaca Bismillah ketika makan,adik telah Berjaya menjadi lebih hebat.
Mengalahkan syaitan dan membuatkan syaitan melihat adik makan dengan penuh kesayuan.Tahniah!
Satu cara memancing mereka untuk mengamalkan sebutan nama ALLAH SWT setiap kali menjamah rezeki.
Kepekaan terhadap sesuatu menjadi ukuran terhadap nilai sesebuah masyarakat.Masyarakat yang dibentuk oleh Nabi sangat sensitif terhadap Islam.
Seruan untuk jihad mereka sambut dengan rela hati.

Mereka sanggup mengorbankan harta dan diri mereka kerana menegakkan agama ALLAH SWT.
Mereka berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dan kebajikan serta ketaatan walau sekecil mana sekalipun.Kepada mereka semua kebajikan adalah suruhan ALLAH SWT.
Pada masa sama mereka menjauhi segala larangan sama ada besar atau kecil.Nesar atau kecilnya larangan pada mereka sama sahaja kerana semua itu adalah larangan ALLAH SWT.
Lantaran kepekaan terhadap suruhan dan larangan ALLAH SWT mereka sangat takut untuk berbuat maksiat walau kesalahan kecil sekalipun.Jika mereka membuat kesalahan dan dosa kecil mereka merasakan tertekan seolah-olah gunung Uhud akan menimpa dirinya.Apatah lagi dosa yang besar.
Masyarakat sudah banyak yang berbeza.
Kebanyakkannya tidak peka terhadap ajaran Islam.
Walaupun telah melakukan dosa besar yang sangat banyak namun dirasakan seperti seekor lalat yang hinggap diatas hidungnya,seolah-olah tiada apa-apa.

Ini berbeza sekali dengan generasi awal yang merasakan akan dihempap gunung hanya melakukan dosa yang kecil.
Betapa nabi Adam menangis beratus – ratus tahun hanya melakukan satu dosa sahaja iaitu memakan buah khuldi yang dilartang oleh ALLAH SWT.
Bagaimanakah pula keadaan kita ,adakah kita menangis setelah melakukan dosa bukan setakat satu malahan tidak terkira dosa yang dilakukan?
Hisablah diri sebelum kita dihisab.
Ikatlah ilmu dengan menulisnya,

Selasa, 14 September 2010

Hari Raya Hari Mengucup Piala Taqwa menewaskan Pengurus Nafsu dalam diri

Seharusnya hari Raya ini di rayakan dengan penuh bersyariat serta mengikut ajaran Islam sebaiknya , ambillah ibrah dan roh Ramadhan yang baru berlalu dengan menjaga diri kita dari diserahkan kepada Pengurus Nafsu diri kita yang telah ditarbiyyah untuk kembali kepada ALLAH setelah kita mengucup Piala Taqwa.

Mudah-mudahan menjadi peringatan kepada diri kita bersama .

Dengarkan pengisian dari Ustaz Azhar Idrus.

Khamis, 9 September 2010

PERUTUSAN HARI RAYA AKHI FIRDAUS


Puteri Nur Fatihah penyeri laman hati , penyejuk hati ummi dan walid.
Salam Syawal kepada semua yang mengenali kami Usrah Abu Fatihah.

كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ 
مِنَ العَائِدِيْنَ وَالفَائِزِيْنَ
Assalamualaikum,

Buat semua pengunjung blog AbangModul.Di kesempatan ini Akhi Firdaus dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri,hari kita kembali kepada fitrah dan Maaf Zahir Batin kepada para semua pengunjung yang tidak putus-putus memberikan semangat dan motivasi untuk kita menekuni hari-hari yang tersisa di dunia ini dengan kerja buat kebaikan.InsyaALLAH.

Bagi pihak Insaff Training,Management and Consultancy,saya juga memohon kemaafan sekiranya selama ini terkhilaf dalam waktu kita berprogram bersama-sama.

Buat adik-adik dan pihak yang pernah terlibat dengan program anjuran Akhi Firdaus dan Insaff Training,Management & Concultancy.Moga Syawal yang hadir ini memberikan kita rasa berTuhan dengan sentiasa memperbanyakkan tasbih,tahmid,takbir dan zikrullah.



اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرَ وَلِلَّهِ الحَمْدُ

Dalam menyambut Aidilfitri, masyarakat Islam yang benar-benar menghayati roh Syawal ini pasti tidak akan melepaskan peluang keemasan ini dengan amalan menziarahi sanak-saudara, kaum kerabat terdekat dan sahabat handai yang akrab untuk bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Pada waktu sama, kita sewajarnya sedar bahawa Islam menuntut umatnya agar bersederhana dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam aspek menyambut Aidilfitri yang penuh meriah ini.

Semoga Syawal ini mengeratkan Ukhuwwah sesama kita dan meraut mahabbah menyemai taqwa.InsyaAllah.

Akhir kalam,salam kemenangan !

Ikatlah ilmu dengan menulisnya,

TERUSKAN KESUNGGUHAN IBADAH RAMADHAN DI BULAN SYAWAL



Bulan Ramadan yang menjanjikan seribu macam pahala, sering menjadi rebutan setiap insan muslim. Masing-masing mengharapkan ganjaran pahala yang banyak bagi menampung dosa-dosa yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari.


Fenomena yang sering berlaku di kalangan masyarakat dalam negara ini adalah ketidaksungguhan mereka meneruskan agenda dan aktiviti keagamaan, ia terhenti dengan berakhirnya Ramadan, seolah-olah Ramadan sahaja bulan untuk beribadat sedangkan bulan-bulan lain tidak perlu berbuat demikian.

Inilah kesilapan yang perlu diperbetulkan dari semasa ke semasa. Allah bagi pandangan mereka hanya wujud pada bulan Ramadan, sedangkan bulan lain bagi tanggapan mereka tidak perlu pengisian rohani. Apabila persepsi ini tidak diubah dari sekarang, mungkin ia akan dianggap betul oleh sesetengah anggota masyarakat. Akhirnya ia menjadi semacam budaya yang merugikan Islam dan umat Islam itu sendiri.


Syawal jadi bulan koreksi diri

Masjid-masjid dan surau-surau kosong dengan pengunjungnya selepas bulan Ramadan, kerana Syawal bagi pandangan sesetengah umat Islam adalah bulan 'rumah terbuka'. Oleh kerana puasa Ramadan juga sebulan, maka berbaloilah apa yang mereka lakukan bagi memenuhi tuntutan nafsu.

Kelas-kelas pengajian seperti ilmu fiqh, akidah tauhid, tafsir, hadis, sirah, tasawwur dan lain-lain hanya dihadiri oleh mereka yang sama juga, itupun tidak berkitab, hanya mendengar. Setiap kali masalah timbul, para penceramah menjadi sasaran untuk diajukan soalan yang sering berulang, sedangkan sepatutnya setiap apa yang didengar perlu dicatat atau berkitab supaya ilmu yang didengar itu bukan hanya ada dalam kitab, malah ia perlu difahami dengan betul sama seperti anak-anak kita belajar di sekolah masing-masing.

Kalau budaya ini berterusan seperti tahun-tahun sudah, maka ia akan melahirkan insan-insan yang tetap sama fahamannya, malah ia tidak meningkat ke satu tahap yang boleh dibanggakan.

Menurut satu riwayat, kalau amalan hari ini tetap sama dengan semalam, atau amalan esok tetap sama dengan hari ini, maka ia menunjukkan tiada satu pencapaian terbaik digarap oleh umat Islam sebulan dalam tazkirah Ramadan.

Alangkah ruginya masa berlalu, tetapi ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh insan-insan yang kurang prihatin atau peka kepada isu-isu agama mereka, sedangkan banyak persoalan dikemukan oleh para alim ulama’ dalam forum-forum mereka khususnya yang disiarkan menerusi laman-laman web Islam, antara tajuk-tajuk forum yang patut dihadiri oleh umat Islam di bulan Syawal bagi menggilap kemampuan daya berfikir mereka adalah:

1) Mengapa umat Islam berani menentang Allah secara terbuka?

2) Benarkah kita umat yang komited dengan Islam?

3) Benarkah amalan kita diterima Allah sedangkan kita tidak menyumbang kepada Islam?

4) Adakah kita sebaik-baik umat yang dikeluarkan Allah buat umat manusia sejagat?

5) Mengapa masih terdapat ramai umat Islam tidak menutup aurat?

6) Mengapa Allah bukan matlamat sebenar dalam segenap agenda hidup kita?

7) Mampukah umat Islam mengekang kemaraan musuh-musuh Islam dalam segenap aspek hidup mereka?

8) Dimanakah kita dengan Rasulullah s.a.w.?

9) Mengapa para isteri baginda Rasulullah s.a.w. tidak dijadikan role model kepada muslimah hari ini?

10) Bolehkah kita mati dalam agama Islam?

Dan banyak lagi, yang kiranya apabila umat Islam tidak bersungguh untuk memahami salah satu tajuk di atas sebagai jalan untuk memperkasa diri dengan elemen agama, sudah pasti mereka tidak akan menjadi umat yang berjaya dalam hidup.



Tindakan yang perlu kita buat selepas Ramadan

Justeru, bagi mengekalkan kelangsungan amal ibadat serta hubungan intim dengan Maha Pencipta, adalah disarankan agar saudara/saudari memastikan beberapa panduan di bawah ini:

1) Paling penting yang perlu anda lakukan sebelum yang lain, memohon pertolongan Allah SWT agar terus memberikan hidayat-Nya, menetapkan iman pada jalan agama-Nya serta memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan agama.

2) Kekalkan amalan takwa yang digarap ketika melaksanakan ibadat puasa di bulan Ramadan walaupun menjangkau bulan Syawal sebagai bekalan setahun untuk Ramadan akan datang.

3) Perbanyakkan beramal dengan amalan-amalan sunat yang dilakukan pada bulan Ramadan untuk kelangsungan di bulan Syawal dan seterusnya seperti solat-solat sunat, puasa-puasa sunat, banyak berdoa.

4) Banyak bergaul dengan golongan para Solihin seperti majlis zikir, nasihat, kaunseling dan tazkirah.

5) Memperdalami maklumat dan ilmu pengetahuan mengenai sejarah kehidupan para Anbiya’, Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat, tokoh-tokoh sarjana Islam terkemuka dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan yang pernah melonjakkan Islam, sama ada melalui pembacaan, mendengar kuliah atau cakera padat, kaset agama dan sebagainya.

6) Memperbanyakkan mendengar kuliah-kuliah fardu ‘Ain di masjid atau surau secara langsung ataupun kaset dan cakera padat (sebagai bahan rujukan tambahan).

7) Memelihara tuntutan ibadat khusus seperti solat lima waktu, mengqada’ puasa yang tertinggal kerana sakit, musafir atau uzur syari’e, kerana ia amat dituntut untuk dilakukan segera.

8) Memelihara amalan-amalan sunat seperti puasa enam hari di bulan syawal, bersedekah, menziarahi sanak-saudara, jiran tetangga, sahabat-handai dan lain-lain.

9) Membaca al-Quran, bermula dengan menghafaz surah-surah pendek dan menghafaz ayat-ayat penting sebagai pendiding diri seperti ayat kursi, surah al-Mulk, Yasin dan lain-lain.

10) Memperbanyak zikir dan wirid, terutamanya zikir Ma’thurat susunan Imam Syahid Hasan al-Banna.

11) Menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh merosakkan hati, sama ada bergaul dengan golongan maksiat, menonton filem lucah, membaca majalah-majalah yang boleh melalaikan seperti hiburan dan lain-lain, mendengar muzik yang melalaikan dan banyak lagi.

12) Bertaubat lah kepada Allah SWT dengan kadar segera dengan menyesali apa yang telah dilakukan yang menyalahi hukum syarak dan berazam tidak akan mengulanginya pada masa-masa akan datang.

13) Berhenti dari merokok terutamanya jenama rokok milik Zionis Israel, Amerika dan Britain yang menghimpun dana bagi membeli senjata untuk membunuh saudara-saudara Islam di Palestin, Lubnan dan lain-lain.

14) Menyesali atas perbuatan menghadiri program-program maksiat seperti hiburan yang melalaikan atau sukan yang mengalang diri dari menunaikan solat lima waktu.

15) Gigih untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan Allah serta Rasulullah s.a.w dan bersedia melakukan segala perintah dengan penuh rasa tanggungjawab dan pasrah kepada arahan kedua-duanya.

Janganlah jadi golongan yang hanya mengenali Allah SWT di bulan Ramadan semata-mata dengan amalan yang banyak, malah jadikanlah diri anda sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bertakwa sepanjang masa.

Ikatlah ilmu dengan menulisnya,

Rabu, 8 September 2010

14 ADAB DI HARI RAYA

14 ADAB DI HARI RAYA



Budaya ziarah-menziarahi adalah perkara yang amat dituntut dalam agama kita apatah lagi ketika ummah menghadapi kegersangan ukhuwwah, dan kemandulan kasih sayang yang menyerang kita semua. Tetapi perlu kita ingat, peraturan agama jangan sesekali diketepikan oleh kita. Di sini ustaz ingin nyatakan beberapa adab-adab penting:

•Memberi makluman akan kedatangan kita, jumlah yang hadir dan waktu.

•Datang apabila dijemput

•Memberi salam dan minta izin masuk

•Memakan dengan penuh syukur apa sahaja yang dihidangkan oleh tuan rumah

•Mengelakkan pandangan sekeliling rumah dengan tujuan meninjau dan tanpa hajat

•Elakkan duduk lama hingga menyusahkan tuan rumah disamping memberi laluan kepada tetamu lain

•Elakkan berbicara perkara yang tidak sesuai pada masa itu walaupun perkara itu baik seperti soal jawab agama dan lain-lain.

•Bercakap perkara-perkara yang ringan seperti bertanya khabar dan ucapan tahniah serta pujian

•Bersalaman ketika bertemu dan berpisah

•Ucapkan terima kasih atas jemputan

•Menawarkan pertolongan yang diperlukan

•Mengajak supaya tuan rumah membalas ziarah ke rumahnya

•Sekiranya melihat kemungkaran maka hendaklah ditegur dengan bijaksana

•Menjauhkan diri daripada percampuran lelaki dan perempuan tanpa batasan

[sumber]

Ikatlah ilmu dengan menulisnya,

Selasa, 7 September 2010

PANDUAN BERHARI RAYA


Alhamdulilah,segala puji bagi Allah S.W.T. atas segala nikmat kurnianya, selawat dan salam buat Rasul junjungan s.a.w dan keluarga baginda yang suci lagi tercinta, para Sahabat benteng pertahanan Islam dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari qiamat.

Hari Raya Eidil Fitri terlalu hampir dengan kita, manakala Ramadhan pasti akan berlalu juga. Semoga Ramadhan yang akan meninggalkan kita akan datang lagi tahun hadapan pada kesempatan yang tidak akan kita sia-siakan. Syawwal yang bakal menyinsing mesti disambut dengan meriah kerana ianya juga tetamu Allah sebagaimana bulan Ramadhan. Kemeriahnya mestilah berdasarkan pada sunnah bukannya dengan hawa nafsu dan emosi yang diluar pertimbangan. Oleh kerana Syawwal adalah anugerah Allah, maka sudah semestinya cara-cara dan panduan daripada Allah dan rasulNya yang kita dambakan. Berikut beberapa panduan ringkas untuk tatapan bersama.

Disunatkan memperbanyakkan takbir pada malam Raya, bermula selepas maghrib hinggalah selesai solat Raya dilaksanakan. Bukannya memperbanyakkan lagu raya atau filem raya sebagaimana usaha-usaha yang dilakukan oleh media jahiliyyah.

Disunatkan mandi sunat hari raya bagi lelaki dan perempuan yang boleh solat atau uzur, berwangi dan berhiasan melainkan wanita, tidak dilakukan dengan melampau sehingga menimbulkan fitnah.





Makan kurma terlebih dahulu sebelum menunaikan solat dengan jumlah yang ganjil. Ianya bertujuan untuk menandakan puasa sudah tamat serta mengawal nafsu gelojoh yang mungkin akan teruja pada hari raya tersebut itu.

Melalui jalan yang berlainan pergi dan balik sebagai mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Antara hikmahnya ialah memperbanyakkan bertemu dengan kenalan dan umat Islam. Disamping meperbanyakkan syiar dan kebaikan kepada semua tempat.

Mengeluarkan semua ahli rumah bagi menunaikan solat hari raya dan mendengar khutbah samada lelaki yang uzur, anak-anak perempuan, dara dan teruna. Supaya kegembiraan dapat dikongsi bersama dan nasihat yang terkandung dalam khutbah dapat diambil manfaatnya.

Adapun perkara-perkara lain seperti bermaafan, ziarah menziarahi, bersedekah pada kanak-kanak merupakan perkara yang bersangkutan dengan budaya dan adat semata-mata.

Sedangkan perkara itu dituntut melakukan bila-bila masa sahaja. Semoga Allah memberkati kita semua. Amin.

SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITRI, ALLAH MENERIMA AMALAN KAMI DAN KAMU.

[sumber]




Khamis, 2 September 2010

MERAWAT PENYAKIT UMAT ZAMAN KINI

PENYAKIT UMAT ZAMAN KINI



Umat ISLAM kini,sedang di timpa penyakit yang pernah di timpa kepada umat-umat zaman dahulu.



Apakah penyakit-penyakit tersebut ?

Adakah kita sedang dihinggapi penyakit tersebut?

Laksanakan X-RAY sekarang dengan melihat senarai penyakit di bawah :

1.Penyakit terlalu banyak seronok dan bergembira.
2.Penyakit terlalu bermewah-mewahan.
3. Penyakit menghimpunkan harta sebanyak mungkin.
4. Penyakit tipu menipu dalam harta benda dunia.
5. Penyakit saling marah-memarahi.
6.Penyakit saling hasut-menghasut.
7.Penyakit zalim-menzalimi.

Bagaimana ? Jelas kita sudah dihinggapi penyakit cintakan dunia dan takutkan mati.

Ketujuh-tujuh penyakit ini tidak boleh di bawa ke Hospital kerana Hospital biasa tidak menerima pesakit ini.Penyakit ini ,perlu di rawat di Masjid atau dengan kata lain Rumah ALLAH.

Ia berpunca dari Hati.

Ia berpunca dari Roh bukan Jasmani.



Sekiranya kita sakit jasmani ,boleh di bawa pesakit ke klinik , sekiranya sudah teruk perlu di rujuk ke Hospital ataupun mendapatkan rawatan terbaik dengan doktor peribadi.
Sekiranya mahu dapatkan ubat,boleh pula ke farmasi sekiranya tidak sihat juga boleh berjumpa doktor pakar.

Tetapi penyakit yang berpunca dari hati tidak boleh di bawa berubat kerana doktornya tidak duduk di klinik mahupun hospital.



Kerana untuk merawat penyakit jiwa ini adalah dengan membaca Al Quran dan mengikuti segala arahan di dalam tanpa bantah atau banyak bicara.

Al-Quran adalah manual kehidupan kita dengan program yang cukup padat dan sistematik tambahan pula suluhan ilmu dari sunnah Nabi Muhammad SAW amat perlu untuk kita merawat penyakit jiwa yang bersarang di dalam hati kita.

Berseronok mahupun bergembira tidak dilarang oleh Islam.Tetapi berlebih-lebihan seronok dan bergembira,hendak kepada kesukaan dan pesta pora yang melalaikan itu yang dilarang oleh Islam
Sekarang bukan sahaja seronok malah melampau batas.Di bandar,di hulu di hilir di kampung , majoriti umat Islam sekarang mahukan keseronokan.

Sekiranya ada konsert nyanyian di bandar,berpusu-pusu yang akan hadir malah di berikan hebahan yang luas dalam media massa tentang konsert yang akan dilakukan.Hasilnya kedatangan manusia ke konsert tersebut amat ramai ,berbeza dengan panggilan azan yang dilaungkan untuk memanggil umat ke masjid.Hanya di pandang sepi ,walaupun kita amat yakin dengan kelebihan bersolat berjemaah di masjid.

Di masjid diadakan kuliah namun tidak ramai yang kesana, walaupun masjid itu terletak di tempat strategik di tengah-tengah bandar.Realitinya,ibadah di kesampingkan dan bukan menjadi matlamat malah ada yang menjadikan kesukaannya itu sebagai matlamat hingga tidak solat!

Hebatnya keseronokan umat Islam sehinggakan bazaar Ramadhan penuh dan sesak,namun solat Maghrib berjemaah di masjid diabaikan.Apakah Fiqh Awlawiyyat di situ ? Utamakan yang lebih utama dari yang utama.

Mungkin juga sekiranya ada tarikan di pasaraya dengan jualan runtuh dan sebagainya dan diketahui jarak pasaraya tersebut dengan rumah adalah sebanyak 5 kilometer,sanggup untuk kita pergi namun jarak rumah dengan masjid sebanyak 50 langkah kita abaikan dan buat-buat tidak Nampak.

Apakah sebabnya? Kerana tarikan dunia semata-mata.

ALLAHURABBI,

Kita boleh seronok sekadar-kadar yang sepatutnya.

Orang yang bertuah adalah orang yang menerima suratan amalan dari tangan kanan.

Dan sewaktu inilah,kegembiraan yang sepatutnya kita boleh banggakan.

Sijil Amalan Kebaikan dengan tangan kanan,walaupun anda hanyalah seorang pekebun,seorang penoreh,seorang pelajar atau pensyarah mahupun mempunyai Master dan pendidikan yang tinggi .

Inilah saat yang amat seronok dengan penganugerahan sijil amalan di tangan kanan.



Maka kebinasaanlah kepada mereka yang menerima suratan amalan dari tangan kiri.

Alamat yang tidak beruntung,rosak binasalah diriku pada hari ini kerana dahulu di dunia,hanya hendak berseronok sahaja tidak peduli kepada masjid mahupun perkara-perkara kebaikan untuk umat.

Kita akan mengeji diri kita sendiri di padang Mahsyar kelak.

Sebelum menuju ke hari tersebut marilah kita memperbaiki diri kita dahulu dengan kembali dengan ajaran ISLAM.



Dahulu,waktu kita berjalan-jalan di tepi rumah jiran di kampung-kampung sewaktu seusai Maghrib.

Maka,terdengarlah bacaan Al-Baqarah di rumah sekian, apabila berjalan ke hadapan sedikit terdengar bacaan surah Ar-Rahman dan begitulah lazimnya.

Kini,waktu masa yang sama seusai Maghrib,hanya terdengar gelak tawa dari isi rumah kerana jiwa telah disogokkan dengan hiburan dari televisyen seperti tag line macam-macam ada.

Kini,mungkin Al Quran di perdengarkan hanya apabila waktu hendak mati.Baru nak baca Al Quran.Selebihnya pada hari-hari lain membaca surat khabar dan lain-lain.

Sekiranya kita mengetahui apa yang berlaku di alam barzakh dan di alam kubur nescaya kita akan kurangkan ketawa dan mengingati mati.

Inilah penyakit umat terdahulu yang telah kita hadapi.

Apakah langkah merawatnya ?

Penyelesaiannya pada anda.



Hanyalah keimanan dapat memancarkan kebahagiaan dalam hati manusia,yang dirindukan oleh setiap orang.

Kebahagiaan baru menjadi satu kenyataan yang dapat dirasakan,hanyalah jika ada ketenangan,ketenteraman,keamanan batin,pengharapan cita-cita dan kasih sayang.

Untuk semua itu,iman menjadi sumbernya.

Tanpa ada keimanan,hal-hal di atas hanyalah dapat menjadi sebutan dan harapan kosong belaka.

Dengan iman tercapai keamana lahir dan batin.

Sesungguhnya kehidupan yang baik di sana nanti dapat diperoleh dengan iman dan perbuatan baik kita di dunia.

"IMAN MENCIPTAKAN REVOLUSI DAN PEMBAHURUAN"

Ikatlah ilmu dengan menulisnya.











Rabu, 1 September 2010

MENGUTIP PAHALA MERINGANKAN BEBAN


KEBERKATAN HIDUP DARI AMALAN SEDEQAH


Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.
 
Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?' Nabi Ayub mejawab 'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu'. Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.
 
Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.
 
1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah. 
 
2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.
 
3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal
 
4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.
 
5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.
 
6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.
 
7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.
 
8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam ayat Quran Ali Imran ayat 92
 9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)
 
10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan). 

Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.
 
11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami. 
Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. 



Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)'
 
Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.
 
Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi.
Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan.

Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.
 
Sekian, wallahualam. Semoga yang baik datang daripada Allah dan yang buruk dari kesilapan sendiri.